Pelajar-pelajar yang terlibat dengan program mobiliti pelajar 'Putra Madani Outreach Innovation Technology of Japan 2023-2024'. Gambar: Ihsan UPM

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) semalam melancarkan siri program mobiliti pelajar ‘Putra Madani Outreach Innovation Technology of Japan 2023-2024’.

Ia merupakan program Semarak Siswa Madani Antarabangsa yang pertama daripada lima siri bermula Julai, September dan November tahun ini serta Januari dan Mac tahun depan 2024.

Penaung program, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, program itu bertujuan untuk mengembangkan ilmu dan kemahiran pelajar UPM dengan kemajuan teknologi di Jepun melalui kerjasama jangka panjang dengan Kyushu Institute of Technology (Kyutech).

Katanya, ia merupakan usaha UPM menyokong hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin agar negara menerapkan kemahiran dan kecekapan teknologi yang bersifat ‘kalis masa depan’.

“Kyutech merupakan universiti di Jepun yang tersohor dalam bidang kejuruteraan sains dan teknologi.

“Kemajuan sains dan teknologi Jepun yang maju dalam jangka masa singkat mampu menyediakan platform kepada mahasiswa Malaysia untuk mempelajari amalan ilmu teknologi terkini Jepun,” katanya yang juga Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM.

Menurut Arifin, pada siri pertama, seramai 25 pelajar universiti itu akan menjalani program mobiliti berkenaan di Kyutech dari 19 Julai hingga 1 Ogos dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Mahasiswa Negeri Johor (PERKASA JOHOR UPM) dan Yayasan Pelajaran Johor.

Dalam pada itu, beliau yang juga pelopor dan aktivis hubungan mobiliti pelajar UPM dan Kyutech sejak tahun 2013 berkata, hubungan kedua-dua institusi itu merentasi jaringan penyelidikan dan saintifik, program akademik seperti dual-degree program, mobiliti pelajar kebudayaan dan akademik.

“Aktiviti-aktiviti ini dapat memberi peluang kepada peserta daripada kedua belah pihak untuk bertukar pandangan dan ilmu berkaitan teknologi yang berkaitan.

“Sebanyak 21 siri lawatan antara UPM-Kyutech telah melibatkan pelajar sejak tahun 2013.

“Pelajar UPM juga ibarat duta yang membawa nilai-nilai murni gagasan Malaysia MADANI seiringan dengan pertembungan nilai-nilai murni pelajar Jepun kelak,” ujarnya.

Arifin menjelaskan program outbound pelajar UPM ke KYUTECH memberi peluang kepada pelajar untuk mengikuti sebahagian pengajian akademik di institut berkenaan dalam bidang kejuruteraan, bioteknologi, robotik dan sains angkasa kerana KYUTECH diiktiraf oleh Jepun sebagai salah satu institusi pengajian tinggi terbaik dalam melahirkan saintis teknologi robotik dan sains angkasa.

“Perkongsian ilmu pengetahuan antara peserta dan pelajar KYUTECH memberi kelebihan kepada UPM dalam usaha melahirkan pelajar yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan di peringkat global dalam bidang berkaitan.

“Penghayatan enam nilai teras Madani dan nilai-nilai murni bangsa Jepun boleh membantu Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDGs) yang difokuskan oleh pengurusan Kyutech untuk manfaat pelajar Malaysia dan Jepun,” katanya.

Sementara itu pengarah program tersebut, Muhammad Ikram Marozan, pula berkata pelajar PERKASA JOHOR UPM akan berkongsi inovasi projek Pertanian Tanpa Cangkul yang memenangi Anugerah Projek Inovasi Terbaik dan Program Terbaik Negeri Johor di bawah Anugerah Ikon Siswa Johor 2022 kepada pelajar Kyutech.

“Pelajar UPM akan didedahkan dengan teknologi sistem kitar semula, teknologi insinerator, dan lawatan serta ‘hands on experience’ ke pusat kitar semula di Hibikinada, Kyushu bagi mempelajari teknologi kitar semula,” katanya.

Beliau berharap pelajar UPM dapat mempelajari kaedah pembersihan sungai untuk berkongsi semula pengalaman kepada program Johor Bersih yang telah dilancarkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“Kami memilih Jepun untuk program mobiliti kerana Jepun mempunyai etika kerja, mutu kerja serta disiplin tinggi, mengamalkan nilai-nilai murni dan sistem pengurusan kualiti terbaik dari Barat yang telah ditambahbaik nilai dan proses oleh Jepun hingga mencapai kemajuan peradaban bangsa Jepun,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast