KUANTAN- Hampir 100 penduduk Kampung Bukit Ubi, di sini mengimarahkan sambutan Maal Hijrah dengan berarak sejauh dua kilometer di kawasan sekitar pagi tadi.
Mereka mula berarak pada jam 7.30 pagi sambil membawa sepanduk dan berselawat.
Sambil memakai baju tradisional, penduduk tanpa mengira umur bersemangat menyambut Tahun Baharu Islam.
Bercakap kepada MalaysiaGazette, Nurul Arisha Mohd Aris, 36, berkata penganjuran sambutan oleh penduduk merupakan acara julung pertama kali diadakan di kampung tersebut.
Bertindak sebagai perancang bagi program itu, Arisha tidak menyangka acara santai ini mendapat sambutan luar biasa.
“Sebenarnya tercetus idea sebab sudah lama dah tidak ada buat aktiviti seperti ini. Cadangnya bagi pendedahan kepada anak-anak sekarang tentang Maal Hijrah.
“Anak-anak cuti tapi tiada penghayatan jadi bila berarak begini kembalikan nostalgia sambutan awal Muharam.
“Pernah buat masa kecil-kecil dulu, tapi untuk ini kali pertama pendedahan kepada kanak-kanak, daripada masa cuti menghadap gajet lebih baik mengadakan aktiviti gembirakan anak-anak,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Arisha bersyukur kerana aktiviti bukan sahaja mendapat sambutan walaupun perancangan serta persediaan dibuat dalam masa dua hari, malah menerima sumbangan daripada individu dan syarikat untuk menjayakan program.
Tambahnya, peserta berusia dari 4 hingga 50-an juga dinilai melalui kreativiti sepanduk dan pemakaian beragam bagi acara ini
“Alhamdulillah syukur kerana kami dapat sumbangan duit buat makan nasi minyak, beli hamper kepada pemenang.
“Apabila berkumpul dalam program seperti ini, kami dapat merapatkan ukhwah sesama penduduk Kampung Bukit Ubi,” katanya. – MalaysiaGazette