Orang ramai mengambil bantuan Sumbangan Tunai Rahmah ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di BSN Bukit Tinggi, Klang, Selangor. Gambar hiasan

KLANG – Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 yang membabitkan peruntukan lebih RM2 bilion mula disalurkan secara berfasa kepada individu berkelayakan.

Pemberian yang sepatutnya bermula pada awal Julai dipercepatkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berikutan ketibaan Hari Raya Aidiladha.

Lebih lapan juta penerima B40 mendapat manfaat bayaran antara RM100 hingga RM1,300 berdasarkan kelayakan masing-masing.

Setiap kali pengumuman berkaitan sumbangan wang daripada kerajaan, pastinya pusat perbankan menjadi lokasi tumpuan bagi rakyat Malaysia menuntut bahagian masing-masing.

Tinjauan MalaysiaGazette di Cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) Bandar Bukit Tinggi, di sini, mendapati kebanyakan penerima mula beratur sejam lebih awal daripada waktu operasi bank bermula.

Rata-rata mereka yang ditemui tersenyum dengan wang STR yang disifatkan dapat membantu meringankan bebanan kos sara hidup.

Muhammad Shahrul Adzwan Rosmin

Pengawal sekuriti, Muhammad Shahrul Adzwan Rosmin, 24, antara yang menyuarakan kesyukuran menerima STR.

“Membantu juga (STR) ini, untuk orang bujang dapat RM150. Sejak merantau ni, (belanja) lebih kepada diri sendiri, biasanya (kongsi) dengan adik-adik.

“STR ini dapat bantu kurangkan kos sara hidup saya. Susah juga hidup di Lembah Klang, kos kehidupan di sini memang besar,” katanya.

Pada masa sama, Muhammad Shahrul Adzwan yang berasal dari Sandakan, Sabah itu kagum dengan situasi yang terkawal untuk menuntut STR berbanding di tempat asalnya yang lebih sesak.

Pooniamah Planiandy

Senyuman sama turut terukir di wajah Pooniamah Planiandy, 72, selepas mengeluarkan wang STR.

Kata suri rumah yang menetap di Taman Andalas itu, bantuan berkenaan akan digunakan untuk perbelanjaan makanan dan dikongsi bersama cucu-cucunya.

“Ini dah kali kedua dapat STR, sebelum ini dapat RM100 tapi kali ini RM200. Dapatlah bantu saya sikit, nak beli makan, nak belanja cucu saya.

“Saya sangat gembira ini memang mencukupi. Tuan kasi kita angkatlah,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Suriati Ramli

Sementara itu, Suriati Ramli, 57, yang menyara anaknya yang masih bersekolah dengan mengambil tempahan menjahit, berpendapat, kerajaan wajar mengambil inisiatif menaikkan amaun bantuan itu.

“Kalau nak ikut cukup, memang tak cukup. Tapi dia bukan nak bagi cukup tapi dia membantu, dia nak ringankan beban.

“Sekarang ini kurang tempahan menjahit, jadi STR ini sedikit sebanyak membantu saya,” katanya.

Menurut Suriati, wang itu digunakan bagi tujuan persediaan menyambut Hari Raya Aidiladha.

“Alhamdulillah rezeki. RM150 tu boleh beli beras, nak beli barang dapur lagi. Lagipun, dah nak raya,” ujarnya.

Azmi Malek

Pendapat sama juga disuarakan Azmi Malek, 48, yang mahu kerajaan menyalurkan bantuan mengikut situasi ekonomi semasa.

Katanya, kerajaan juga perlu menyelaraskan bantuan terhadap kategori bujang dan warga emas yang tiada pasangan sama seperti yang kategori ketua isi rumah.

“Sebenarnya kalau ikutkan dengan ekonomi sekarang ini, sepatutnya kerajaan kena beri lebih perhatian terhadap warga bujang dan warga emas,” katanya.

Beliau menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan kerana bantuan rakyat masih berjalan dan berharap inisiatif ini akan diteruskan.

Untuk rekod, STR terus dikreditkan bermula 26 Jun hingga 5 Julai kepada penerima yang mempunyai akaun bank.

Bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank termasuk di Sabah dan Sarawak, kaedah bayaran adalah secara pembayaran tunai menerusi cawangan Bank Simpanan Nasional di seluruh negara.

Fasa Pertama STR telahpun diagihkan pada 17 Januari 2023 secara berperingkat. Manakala, Fasa Kedua pula pada bulan April dan diikuti Fasa Ketiga iaitu pada 26 Jun.

Secara keseluruhan, STR membantu meringankan beban sara hidup hampir 9 juta penerima dengan peruntukan disediakan hampir RM8 bilion.

Maklumat lanjut mengenai inisiatif Belanjawan 2023 yang lain boleh didapati di belanjawan.mof.gov.my/manfaat. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast