Lelaki guna kereta sepupu pancing penumpang Terminal 2 KLIA diberkas penguat kuasa JPJ

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang memandu kereta Volkswagen ditahan selepas menjadi ‘ulat’ di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur semalam manakala kenderaan berkenaan di sita.

Lebih malang lagi kereta yang dipandu lelaki itu bukan miliknya tetapi dipinjam daripada sepupu.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor,Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, pemandu lelaki berusia 49 tahun itu ditahan hasil pengintipan dan pemantauan rapi yang dijalankan oleh sepasukan anggota Stesen Penguatkuasa KLIA.

“Pemandu itu didapati telah memujuk, merayu dengan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada seorang penumpang tempatan dari Terminal 2, KLIA ke Terminal 1 KLIA,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Malah, pemandu itu mengaku mengenakan kadar tambang RM40.

Dalam pada itu, beliau menasihati orang awam agar mengelak daripada mendapatkan khidmat ‘ulat’ di lapangan terbang, sebaliknya menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA, KLIA 2 atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1), di bawah akta yang sama.

“Penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil ke atas pemandu serta pemilik kenderaan yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen ini,” tegasnya.- MalaysiaGazette