KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) dijangka meletakkan lebih ramai muka baharu dalam kalangan kaum India dan Cina pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini terutamanya di Selangor dan Negeri Sembilan.
Difahamkan, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang, PN sudah hampir sah meletakkan seorang calon muda yang berusia 27 tahun, Rajean Kumar Ratnam.
Baru-baru ini, Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Dr Chong Fat Full pada majlis pelancaran jentera pilihan raya bagi DUN Rawang telah mengumumkan nama Rajean sebagai calon.
“Hanya satu nama sahaja yang saya calonkan iaitu Rajean. Semoga calon ini bawa kemenangan buat kita,” katanya pada majlis itu.
Bagaimanapun MalaysiaGazette difahamkan, pengumuman calon secara rasmi akan diadakan pada 22 Julai ini oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketika MalaysiaGazette menghubungi Rajean, kata anak muda kelulusan kejuruteraan serta minyak dan gas itu, apa sahaja keputusan parti akan dituruti dengan penuh tangunggjawab.
Kata Rajean yang juga Ketua Penerangan Bersekutu Selangor dan Ketua Bersekutu Selayang, gerak kerja di Rawang sudah lama bermula walaupun sebelum ada ‘ura-ura’ dirinya mungkin tercalon sebagai calon.
“Kita orang parti dan bertanggungjawab dalam memastikan bukan sahaja kemenangan sebaliknya kebajikan yang kita laung-laungkan itu untuk rakyat bukanlah retoriksetakat pilihan raya sahaja.
“Kerana itu juga, sama ada saya jadi calon atau sebaliknya, jentera sudah lama digerakkan tidak kira siapa calon. Pada masa ini, tidak kisah kerusi itu sukar dimenangi atau sebaliknya, kita bertarung dulu. Rakyat kini sudah celik bukan seperti dulu lagi.
“Kita tunggu pengumuman rasmi daripada kepimpinan tertinggi dalam beberapa hari sahaja lagi. Apapun kita berikrar untuk membawa kemenangan besar di DUN Rawang,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Rajean juga bukanlah muka asing kerana sudah menjinakkan diri dalam dunia politik sejak berusia 17 tahun dengan menyertai perjuangan reformasi PKR dalam usaha membebaskan Presiden PKR yang kini Perdana Menteri.
Pada PRN lepas, kerusi DUN Rawang dimenangi oleh Chua Wei Kiat (PH-PKR) dengan pertandingan empat penjuru merebut kerusi di bawah Parlimen Selayang dengan majoriti undi sebanyak 23,860.
Wei Kiat mengalahkan Kong Tuck Wah daripada Parti Cinta Malaysia (PCM) yang mendapat 6,086 undi selain calon bebas, Azman Mohd Noor yang mendapat 644 undi manakala Chan Wun Hoong daripada Barisan Nasional (BN) hanya meraih 222 undi.
Sumber PKR memaklumkan Wei Kiat akan dipertaruhkan sekali lagi sebagai calon Rawang atas tiket Pakatan Harapan (PH).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 12 Ogos depan sebagai hari mengundi di enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang bagi PRN ini. -MalaysiaGazette
Seorang pemimpin yang rakyat sangat perlukan. Beliau tolong menolong dan dengar masalah rakyat tanpa mengira agama dan bangsa. Saya menyokong Encik Rejean.