Sulaiman Tahir (tiga dari kiri) pada pelancaran pembiayaan model Tesla oleh Ambank.

KUALA LUMPUR – AmBank menjalin kerjasama khas dengan Tesla Inc. bagi menawarkan pakej pembiayaan dengan kadar faedah antara terendah untuk pembeli kereta elektrik (EV) Tesla Model Y yang dilancarkan hari ini.

Bank ini merupakan satu daripada dua penyedia pembiayaan pilihan Tesla di Malaysia.

Pakej pembiayaan AmBank yang ditawarkan kepada pembeli di Malaysia sah untuk semua tiga varian Tesla Model Y iaitu Tesla Model Y RWD dengan harga RM199,000; Tesla Model Y Long Range AWD (RM246,000) dan Tesla Model Y Performance AWD (RM288,000).

Kesemua harga yang disebutkan adalah termasuk SST.

Ambank berkata, pelancaran Tesla Model Y di Kuala Lumpur menandakan kemasukan rasmi Tesla ke tanahair di bawah entiti Malaysia miliknya iaitu Tesla Malaysia yang membabitkan khidmat jualan, pengedaran, jaminan dan pasca-jualan sepenuhnya.

Ketua Pengawai Eksekutif Kumpulan, Kumpulan AmBank, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, pemilihan Ambank sebagai penyedia pembiayaan akan memperkukuhkan lagi portfolio pembiayaan kenderaan EV, selaras dengan agenda besar Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bank ini.

“AmBank berbangga menyokong aspirasi Malaysia ke arah neutral karbon pada tahun 2050, sejajar dengan kerangka Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon (2021 – 2030) yang menyasar untuk mengubah hala tuju Malaysia bagi berhijirah ke industri pengangkutan dijana elektrik selaku strategi utama mengurangkan pelepasan karbon.

“Sehubungan itu, kadar pembiayaan terpilih akan ditawarkan untuk EV. Bagi pembelian model-model Tesla Y, AmBank menawarkan salah satu pembiayaan kenderaan kadar faedah paling kompetitif di pasaran yang pastinya akan memain peranan penting ketika pembeli membuat pilihan untuk pakej yang paling sesuai dengan pelan pembayaran semula mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Serantau Tesla, Isabel Fan berkata, misi Tesla ialah untuk mempercepatkan peralihan dunia kepada tenaga lestari.

“Selaku sebahagian dari komitmen Tesla di Malaysia, kami telah menyediakan pelan pembangunan yang menyeluruh merangkumi pusat pengalaman, servis dan sokongan, dan juga infrastruktur mengecaj yang kesemuanya bertujuan untuk memastikan pengalaman tanpa halangan bagi pemilik Tesla. Kami komited dan teruja untuk memacu pelepasan karbon sifar bagi masa hadapan lebih hijau di Malaysia,” katanya.

Di samping itu, AmBank turut menjalin kerjasama dengan AmGeneral Insurance Berhad untuk perlindungan kenderaan Tesla.

InsureMyTesla oleh Liberty Insurance akan menjadi produk insurans perlindungan pilihan bagi kenderaan EV Tesla ini. AmGeneral Insurance Berhad milik Kumpulan AmBank telah bergabung dengan Liberty Insurance Berhad (LIB) baru-baru ini, berikutan perolehan 100% saham AmGeneral oleh LIB. – MalaysiaGazette