KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Sungai Petani menasihatkan anak muda yang berada di perantauan pulang mengundi serta memenangkan calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Ketuanya, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff berkata, mereka tidak boleh membiarkan ibu bapa dan ahli keluarga berada dalam keadaan terkontang kanting dengan kegagalan kerajaan sedia ada.
“Kita tahu, Perikatan Nasional (PN) menang di kerusi Parlimen di Kedah pada PRU15 November lalu kerana gelombang ‘sedekah’.
“Namun, dalam PRN kali ini kita harap mereka tidak terpengaruh dengan gelombang itu, sebaliknya pulang mengundi dengan bijaksana demi masa depan ibu bapa dan ahli keluarga mereka,” katanya di sini, malam tadi.
Sebanyak 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam 15 Parlimen di Kedah akan berdepan pilihanraya negeri pada 12 Ogos ini.
Dalam PRU15 yang lalu, daripada 15 kerusi Parlimen, hanya satu kerusi dimenangi PH-BN, iaitu Parlimen Sungai Petani, selebihnya, 14 kerusi lagi dimenangi Perikatan Nasional (PN).
Sehubungan itu, Shahanim berharap, tiga DUN dalam Parlimen Sungai Petani iaitu Pantai Merdeka, Bakar Arang dan Sidam termasuk 33 kerusi DUN dalam negeri itu dimenangi secara mutlak oleh calon PH-BN.
“Kita harap anak muda yang berumur 18 hingga 40 tahun yang berada di perantauan mengutip pengalaman tujuh bulan ahli keluarga mereka berada dalam kendalian PN.
“Saya sedih melihat ahli keluarga mereka yang tidak tahu hendak mendapatkan perhatian daripada siapa kerana kerajaan negeri di bawah PN, manakala kerajaan pusat ditadbir Kerajaan Perpaduan.
“Yang tinggal di kampung ialah ibu bapa dan keluarga mereka. Inilah akibatnya, apabila mereka balik mengundi PN, selepas itu pulang ke negeri masing-masing untuk menjalani kesenangan hidup di Kuala Lumpur dan sebagainya,” katanya.
Justeru, kata Shahahim, mereka perlu membuat keputusan yang rasional pada PRN ini demi jangka masa panjang keluarga dan rakyat Kedah khususnya. – MalaysiaGazette