Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR- Ajaran dan fahaman SiHulk sebagai sesat, menyeleweng daripada ajaran Islam berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Naim Mokhtar berkata, perkara itu diputuskan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-117 yang bersidang pada 25 hingga 29 Ogos 2020.

Sehubungan itu katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah diarahkan untuk bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKMM) untuk membenteras ajaran sesat itu.

Beliau turut menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kumpulan ajaran sesat berkenaan untuk segera tampil membuat laporan kepada polis, SKMM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

“Seperti yang sedia maklum, tindakan penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa JAIN, pihak JAKIM telah menyalurkan maklumat mengenai ajaran dan kegiatan kumpulan SiHulk kepada pihak JAIN antaranya Jabatan Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Selangor untuk tindakan penguatkuasaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Naim, pihaknya maklum mengenai kewujudan dua video tular yang memaparkan sekumpulan individu menyokong fahaman yang dibawa oleh Suhaini bin Mohammad @ SiHulk termasuk mendakwa Nabi Muhammad itu adalah Allah.

Bagaimanapun katanya, setakat semalam, akaun Facebook Nurul Sakinah yang memuat naik video berkenaan tidak lagi dapat diakses.

Antara yang turut dikesan memuat naik kedua-dua video tersebut adalah Facebook yang menggunakan nama Iffat  Muhammad.

Mohd. Naim turut menasihat umat Islam untuk tidak terlibat dan menjauhi penyebaran ajaran sesat tersebut.

Tambah beliau, mana-mana individu yang didapati terbabit dalam kesalahan yang berhubungan dengan kesucian agama Islam seperti penyebaran ajaran sesat boleh dikenakan tindakan mengikut Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri.-MalaysiaGazette