KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji tindakan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHRC) meluluskan resolusi mengenai ‘menentang kebencian agama yang mencetuskan diskriminasi, permusuhan atau keganasan’.
Resolusi tersebut adalah tindak balas terhadap perbuatan sekumpulan individu membakar naskhah al-Quran di luar pekarangan Masjid Jamek Stockholm, Sweden, pada Hari Raya Aidilhadha bulan lalu.
“Malangnya, untuk setiap langkah progresif yang diambil menentang Islamofobia, api kebencian menyala dalam kalangan mereka yang menyembunyikan perbuatan keji mereka di sebalik topeng kebebasan bersuara dan memberi pendapat, seperti yang ditunjukkan oleh negara-negara anggota yang tidak bersetuju.
“Penggunaan kebebasan bersuara sebagai perisai adalah memalukan, menyebabkannya terdedah kepada penyalahgunaan secara teratur untuk mewajarkan kebencian dan kekejaman, bukannya menentang kezaliman,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Resolusi tersebut diluluskan pada 12 Julai lalu dengan menyaksikan sebanyak 28 negara bersetuju, 12 negara tidak bersetuju dan tujuh negara berkecuali.
Malaysia merupakan salah sebuah negara yang menyokong resolusi tersebut manakala Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Jerman dan Perancis antara negara-negara yang tidak bersetuju.
Anwar berkata, seperti totaliarianisme, tanggapan yang ekstrem mengenai kebebasan turut menjejaskan masyarakat sehingga menyebabkan berlaku lebih banyak pencabulan terhadap hak orang lain dari segi kehidupan dan keselamatan.
Beliau menambah, Islamofobia adalah racun yang mengancam negara-negara Barat sama seperti ia mengancam umat Islam di negara-negara yang mereka diami.
“Ia adalah satu percanggahan, di samping semua kebencian yang tidak masuk akal dan xenofobia, kepada matlamat bersama umat manusia.
“Kita tidak boleh selesaikan isu ini dengan membakar dan mencemarkan kitab masing-masing, sebaliknya (ia boleh dilakukan) dengan membaca kitab-kitab itu dan bersemuka melalui dialog,” jelasnya.
Perdana Menteri memberitahu, walaupun UNHRC telah menentang kebencian itu dengan berani, beliau berharap negara-negara yang tidak bersetuju merenung pilihan mereka.
Menurut beliau, negara-negara berkenaan perlu melakukan apa sahaja di bawah bidang kuasa mereka untuk memastikan tindakan dan kata-kata mereka tidak menyebabkan berlaku penganiayaan dan ketidakadilan.
“Saya juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan Sweden kerana mengambil pendirian tegas menentang Islamofobia dan ingin melihat polis Sweden menyahutnya semasa menjalankan siasatan,” katanya.
Anwar berkata, kemudaratan dan kesengsaraan yang disebabkan oleh perbuatan segelintir individu hanya boleh diimbangi oleh pihak-pihak lain yang berganding bahu dan memilih untuk saling menghormati antara satu sama lain serta saling mengambil berat, menunjukkan belas kasihan serta mencari persefahaman. – MalaysiaGazette