KUALA LUMPUR – Peguam Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim mendakwa keretanya dipasang objek menyerupai “bom buatan sendiri”.
Peguam berkenaan berkata, beliau menyedari keretanya dipasang dengan “bom” berkenaan selepas pusat servis memaklumkan terdapat objek pelik yang dipasang ditayar belakang keretanya.
“Saya menghantar kereta untuk di servis kerana mahu pergi Kelantan bagi menghadiri kes melibatkan orang asli pada hari Ahad. Saya mahu pastikan kereta dalam keadaan yang baik.
“Selepas letakkan kereta di pusat servis, saya pergi ke kedai untuk makan tengah hari. Kemudian pusat servis hubungi melalui telefon dan tanya, Siti apa berlaku ke atas kereta anda?
“Saya kata apa yang berlaku? Tengok gambar WhatsApp. Saya lihat dan terkejut. Seseorang telah memasang bom berkenaan,” kata Siti Kasim dalam siaran langsung di Facebook.
Melalui visual yang dikongsi kelihatan dua botol air minuman dengan di dalamnya terdapat kabel elektronik dipasang di tayar kereta peguam tersebut.
Siti Kasim berkata, pusat servis mendakwa objek itu baru dipasang berdasarkan keadaannya yang kelihatan masih elok.
Menurutnya, mujur dia menghantar keretanya untuk servis, jika tidak, beliau tidak tahu ada sesuatu dipasang pada tayar.
Melalui siaran langsung sebentar tadi pihak polis telah mengarahkan pusat servis berkenaan dikosongkan.-MalaysiaGazette