KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu melantik Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan sebagai Ketua Penerangan Sayap Bersekutu (Penaja) yang baharu berkuat kuasa sejak 9 Jun lepas.
Watikah itu telah diserahkan oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut disaksikan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada majlis penyerahan baru-baru ini.
Sanjeevan yang merupakan bekas Pengerusi Badan Bertindak Pemerhati Jenayah (MyWatch) menjadi pilihan Sayap Bersekutu parti dalam memperjuangkan secara lantang isu-isu berkait rapat dengan rakyat di negara ini ketika negara berada di ambang politik ‘terumbang ambing’.
“Surat rasmi sudah ditandatangani kepimpinan parti beberapa hari lepas. Saya ucapkan terima kasih atas pelantikan ini dan kepercayaan parti terhadap saya.
“Saya akan memegang amanah ini dengan sebaiknya terutamanya ketika kita sedang berada dalam situasi politik yang tidak begitu menentu, rakyat pula yang merana serta keliru dengan pelbagai tohmahan, fitnah semakin berleluasa ketika ini,” katanya ketika dihubungi.
Selain Sanjeevan, seramai tujuh lagi telah dilantik termasuk Datuk Goh Gaik Meng telah dilantik sebagai Ketua Sayap Bersekutu Negeri Selangor.
Sebelum ini, Sayap Bersekutu ‘panas’ apabila wujudnya dakwaan berlaku pemecatan ahli namun Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris menafikan wujudnya sebarang pergolakan dalaman sehingga berlakunya insiden pemecatan dalam Jawatankuasa Penaja Sayap Bersekutu parti itu.
Sebaliknya apa yang berlaku dalam sayap bersekutu hanyalah sedikit pertukaran jawatan kuasa sedia ada kepada beberapa pimpinan baharu dilakukan oleh Ketua Sayap Bersekutu, Dr Chong Fat Full bulan lepas. -MalaysiaGazette