KUALA LUMPUR – Dua bekas pemain bola sepak serta dua ahli akademik bertaraf profesor sebagai calon mewakili gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos depan.
Menteri Besar Kedah dan juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kebanyakan calon PN adalah golongan ustaz dan ulamak, yang mana kesemua mereka akan diketuai oleh seorang ‘panglima’.
“Musim kedua perpindahan (penggal baharu), kita akan ada dua profesor untuk mewakili kita, player bola ada dah dua, ustaz dan ulama tak payah kira, (memang banyak), dan seorang panglima (akan) duduk di hadapan,” katanya memetik laporan BH Online ketika berucap pada Himpunan Munajat Perdana di Dewan Al Hana, di Sik, Kedah, malam tadi.
Sebelum ini, media melaporkan bekas ketua pasukan bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar yang juga Ketua Pasukan Sabah FC disebut-sebut sebagai calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun.
Terdahulu, Majlis Pengisytiharan Calon-Calon Perikatan Nasional (PN) Kedah yang dijadual berlangsung hari ini ditangguhkan kepada Rabu depan.
Setiausaha PN Kedah, Musoddak Ahmad, berkata penangguhan itu diputuskan oleh Majlis PN Pusat dan PN Kedah dalam mesyuarat yang diputuskan pada kelmarin (Rabu).
Untuk rekod, Kedah memiliki 36 kerusi Dewan Undangan Negeri yang mana PN menguasai 21 daripadanya sebelum DUN dibubarkan 28 Jun lalu. – MalaysiaGazette