KUANTAN – Ah long dipercayai tersilap simbah cat merah di rumah seorang penyelia semalam.
Ketua Polis Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, rumah mangsa di Jalan Kekwa Felda Bukit Kuantan telah disimbah cat oleh seorang individu tidak dikenali pada jam 8.35 pagi.
“Pengadu mengesyaki perbuatan ini telah dilakukan oleh ceti haram atau ah long yang telah tersalah sasaran.
”Ini kerana pengadu tidak pernah membuat sebarang urusan atau pinjaman atau berhutang dengan mana-mana individu pemberi pinjaman,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Wan Zahari, pengadu tidak berada rumah semasa kejadian kecuali ibu pengadu yang sudah berusia lebih 70 tahun serta adik pengadu yang merupakan orang kurang upaya (OKU).
”Pengadu serta ahli keluarga yang lain tidak pernah membuat sebarang pinjaman dengan mana-mana pihak, dan mengesyaki suspek tersalah sasaran. Ini merupakan kejadian kali pertama.
”Rumah mangsa merupakan rumah yang didirikan di atas tanah lot, jadi saksi bebas yang melihat kejadian,” tambah Wan Zahari.
Kes diklasifikasi sebagai khianat dan masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan kini polis masih mengesan suspek.
Terdahulu tular di aplikasi Twitter mengenai kejadian simbah cat yang berlaku di daerah ini. – MalaysiaGazette