Datuk Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Ahmad Fahmi Fadzil perlu mengambil tanggungjawab atas aksi liar, lucah dan tidak senonoh yang dipamerkan kepada anak-anak muda Malaysia semasa Good Vibes Festival.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Ahmad Fahmi perlu bertanggungjawab kerana terbukti beliau tidak kompeten menjalankan tanggungjawab.

“Kerajaan juga mesti mengambil tindakan undang-undang yang keras terhadap aksi luar tabi’e yang dilakukan di khalayak umum. Jangan sekadar batalkan konsert sahaja.

“Bagaimanapun saya menjangka Fahmi akan meletakkan kesalahan kepada orang lain. Yang akan menjadi mangsa ialah penjawat awam dalam agensi kerajaan. Menyalahkan orang lain adalah modus operandi biasa kerajaan yang tidak kompeten ini.

“Aksi luar tabi’e yang dipertontonkan kepada anak muda semasa Good Vibes Festival amat jauh bertentangan dengan nilai dan budaya negara kita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Wan Saiful berkata demikian mengulas aksi bercium yang dilakukan vokalis dan pemain bass kumpulan The 1975, Matty Heily dan Ross MacDonald di atas pentas.

Wan Saiful berkata, perkara seperti itu boleh dihalang seawal yang boleh.

“Sebagai kerajaan, sepatutnya aksi sebegini dihalang daripada berlaku. Bukan sudah terhantuk baru tengadah.

“Tetapi kerajaan yang tidak kompeten ini gagal teruk sehingga nilai dan akhlak telah dilupakan,” katanya lagi.

Awal hari ini, Ahmad Fahmi mengeluarkan arahan baki program Festival Good Vibes 2023 di Litar Sepang dibatalkan.

Arahan itu dikeluarkan terhadap penganjur program terbabit dalam perjumpaan, awal pagi tadi.

Sehubungan itu, Ahmad Fahmi menggesa penganjur untuk mengenal pasti mekanisme ganti rugi kepada pembeli-pembeli tiket susulan arahan pembatalan itu. – MalaysiaGazette