KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan peruntukan tambahan RM2 juta kepada Jabatan Pengajian India di Universiti Malaya (UM) bagi memartabatkan warisan linguistik dan kesusasteraan masyarakat India di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu membolehkan kajian penyelidikan dibuat khususnya dalam bahasa Tamil.
Menurut beliau, ini kerana bahasa itu tetap penting kerana ia berperanan sebagai alat dalam ketamadunan masyarakat majmuk.
“Kita akui tidak boleh mempersoalkan status Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Namun pengunaan bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Tamil perlu dipertahankan warisan dan sejarahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir merasmikan Program Penyelidikan Tamil Antarabangsa di Dewan Tunku Canselor, UM di sini hari ini.
Beliau turut memberitahu telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi menjayakan persidangan tersebut sebelum ini.
Mengulas lanjut, Anwar memberi jaminan akan mengkaji semula syarat jumlah pelajar untuk memperkenal subjek Bahasa Tamil di sekolah menengah.
Beliau berkata, cadangan itu akan dikemuka kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek secepat mungkin.
Beliau turut sedar banyak kebimbangan diutarakan mengenai usaha itu termasuk berkenaan isu pengambilan tenaga pengajar untuk mata pelajaran Bahasa Tamil.
“Ini kerana terdapat kurang daripada 15 pelajar di sekolah untuk mempelajari mata pelajaran itu.
“Saya akan memaklumkan kepada Fadhlina secepat mungkin agar membuat penyesuaian yang diperlukan,” katanya. – MalaysiaGazette