KUALA LUMPUR – Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak terkejut melihat bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad boleh menggunakan pentas Pas untuk berucap di khalayak ramai di negeri yang menjadi kubu kuat parti tersebut.
Menurutnya, situasi sama pernah dilakukan oleh beliau selepas dipecat oleh UMNO sebelum ini dan ia juga berlaku di Kelantan.
Melihat kepada senario politik tanahair yang dinamik ketika ini, keadaan seperti itu tidak mustahil untuk berlaku.
“Walaupun begitu, ada sesuatu yang menyebabkan kesatuan di dalam usaha kita untuk memastikan matlamat tercapai iaitu hasrat Tun (Dr Mahathir) untuk tidak memecah belahkan undi Melayu kerana ini akan merugikan masyarakat Melayu.
“Atas kefahaman itulah Pejuang tidak menyertai pilihan raya (Pilihan Raya Negari) ini secara solo,” katanya pada sidang media selepas Majlis Taklimat Pertama Presiden Tahun 2023 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya langkah Dr Mahathir yang menggunakan pentas Pas malam tadi untuk membantu kempen Perikatan Nasional (PN) pada pilihan paya negeri (PRN), pada 12 Ogos ini.
Kemunculan pertamanya di atas pentas tersebut bagi kempen PN mendapat reaksi banyak pihak.
Ia kerana, semasa bersama UMNO beliau sering melakukan serangan terhadap parti itu.
Dalam ucapannya pada program Munajat Rakyat Kelantan Pakat Pertahan dan Amanah Pimpinan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Mahathir berharap PN dapat menyapu bersih semua kerusi yang ditandingi dalam PRN berkenaan.
Mengulas lanjut, Mukhriz berkata, sikap yang ditunjukkan oleh Mahathir itu tidak bertentangan dengen pendirian Pejuang yang mana matlamatnya penubuhannya adalah mahu menghapuskan kleptokrasi dan salah guna kuasa.
“Ia tidak dilihat terlampau bertentangan dengan pendirian Pejuang…cuma kita nak reserve sikit kalau-kalaulah ada perkara-perkara tertentu daripada pihak PN yang kami tidak senangi, jadi…kami ada lagi ruang untuk bersuara,” katanya. – MalaysiaGazette