KUALA LUMPUR – Dua buah rumah musnah dalam kebakaran di Jalan Raja Uda, Kampung Baru, tengah malam tadi, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Komander Operasi Timbalan Penguasa Bomba II, Armdan Mahat berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 12.08 tengah malam dan seramai 13 anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender, sebuah Light Fire Rescue Tender, satu tangki air serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digegaskan ke lokasi.
Beliau berkata, pasukan operasi melibatkan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa, BBP Jalan Hang Tuah dan BBP Jalan Tun Razak.
“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian didapati berlaku kebakaran melibatkan dua rumah tidak kekal dengan anggaran kemusnahan 100 peratus.
“Kejadian berkenaan tidak melibatkan mangsa manakala punca kebakaran dalam siasatan pihak forensik,” katanya dalam kenyataan. – Bernama