Kartini Abdul Rahim bersyukur memenangi hadiah cabutan bertuah berupa sebuah motosikal pada Karnival Kita Madani Peringkat Negeri Pahang, di Raub pada semalam

RAUB – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu.

Siapa sangka kehadiran seorang cikgu zumba bagi aktiviti senaman bersempena Karnival Kita Madani di Raub, semalam menjadi kenangan terindah buat Kartini Abdul Rahim.

Beliau memenangi cabutan bertuah sebuah motosikal Honda sempena hadiah ulang tahun kelahirannya ke-45.

Kartini yang mesra disapa Cikgu Kat dilahirkan pada 23 Julai 1978 tidak menyangka sama sekali dapat memenangi hadiah utama berkenaan.

”Sejujur memang saya tak sangka saya menang tapi mungkin ini rezeki hari lahir saya yang ke-45 pada 23 Julai ini.

”Pagi tadi saya ditugaskan untuk ketuai sesi senamrobik pada 8.30 pagi. Kemudian bagi meraikan kehadiran Menteri Besar Pahang yang akan merasmikan karnival ini saya tunggu sampai petang,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Cikgu Kat turut berasa berbesar hati apabila hadiah tersebut diumumkan dan disampaikan sendiri oleh Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada acara kemuncak itu.

Beliau yang menetap di Kampung Melayu Sempalit, Raub merupakan tenaga pengajar senamrobik bersama Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Pahang mula berkecimpung dengan aktiviti zumba sejak tahun 2018.

Ibu kepada dua cahaya mata ini berhasrat memberikan motosikal tersebut kepada anaknya yang akan memulakan pengajian di Johor.

SEmentara itu, lebih 5,000 penduduk Raub membanjiri Karnival Kita Madani Peringkat Negeri Pahang 2023 yang diadakan di Pekarangan Tapak Sehari Dong, Raub.

Pelbagai program dilaksanakan seperti Jualan Rahmah, pertandingan memasak ikan sungai, pertandingan mewarna kanak-kanak, sukaneka, pameran daripada agensi-agensi terlibat, pemeriksaan kesihataan percuma dan cabutan bertuah. – MalaysiaGazette

@malaysiagazette

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa tahu. Siapa sangka kehadiran seorang cikgu zumba bagi aktiviti senaman bersempena Karnival Kita Madani di Raub pada semalam menjadikan kenangan terindah buat Kartini Abdul Rahim. #malaysiagazette #mgnews #cabutanbertuah#karnivalkitamadani #fyp

♬ original sound – malaysiagazette – malaysiagazette