Wisma Putra
Bangunan Wisma Putra di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Duta Besar Sweden ke Malaysia, Dr. Joachim Bergström telah dipanggil bagi menzahirkan kecaman keras kerajaan Malaysia terhadap tindakan menghina kitab suci al-Quran di Stockholm, Sweden pada 20 Julai 2023 lalu.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, tindakan yang dilakukan atas dasar ‘kebebasan bersuara’ itu harus dinilai semula selain mengambil langkah segera untuk menamatkan ‘Islamofobia berstruktur’.

“Ini merupakan kali ketiga tindakan keji tersebut dilakukan di Sweden pada tahun ini, selepas insiden pertama dan kedua pada Januari dan Jun.

“Semasa pertemuan itu, KLN menegaskan kembali bantahan dan kekecewaan Malaysia terhadap Kerajaan Sweden yang telah memberikan kelulusan dan membenarkan tindakan menghina Al-Quran dilakukan berulang kali di Sweden dengan alasan “kebebasan bersuara”.

“Walaupun cubaan membakar Al-Quran tersebut gagal, tindakan provokatif memijak kitab suci ini tetap mengakibatkan kegusaran dan menyinggung jutaan umat Islam seluruh dunia,” katanya.

Wisma Putra telah menegaskan kepada Duta Besar Sweden bahawa ‘kebebasan bersuara’ perlu diamalkan dengan penuh tanggungjawab serta mengambil kira sensitiviti agama kepelbagaian komuniti global.

“Perbuatan tidak menghormati mana-mana agama berpotensi mencetuskan kebencian dan akan menjejaskan keharmonian serta budaya hidup bersama secara aman di kalangan masyarakat yang berbilang agama,” ujarnya. – MalaysiaGazette