KUALA LUMPUR – Keikhlasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin bertanya mengapa kerajaan tidak menangkap anggota kumpulan British The 1975 dipersoalkan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan adakah Hamzah akan mengambil tindakan tersebut sekiranya masih memegang jawatan Menteri Dalam Negeri (KDN).
“Hamzah: Kenapa tidak tangkap The 1975 macam tangkap Sanusi? Itu pertanyaan Hamzah Zainuddin mantan menteri KDN. Ikhlas ke pertanyaan tersebut?
“Kalau ikhlas, nak tanya balik seikhlasnya, kalau dia masih Menteri KDN, adakah dia akan tangkap kumpulan The 1975?” soal Mohd. Puad.
Dalam ceramah malam tadi, Setiausaha Agung Bersatu itu mempersoalkan mengapa The 1975 tidak ditangkap seperti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Ahli Parlimen Larut itu berkata, polis mencekup Muhammad Sanusi pada awal subuh hanya kerana “salah sikit” tetapi ahli kumpulan itu dibiarkan keluar dari negara ini dengan bebas walaupun melakukan banyak kesalahan.
“Saudara saya, Sanusi buat salah sikit pukul 3 pagi (kena) tangkap. Kumpulan (The 1975) ini saya tidak tahu bila polis dah tangkap. Buat macam-macam kesalahan. Tak tangkap pun.
“Inilah kerajaan yang ada, kerajaan double standard. Sebab tu kita tidak mahu kerajaan ini wujud lagi,” kata bekas Menteri Dalam Negeri tersebut.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa pelancaran jentera pilihan raya Perikatan Nasional di kerusi DUN Sungai Burong dan Permatang, di Tanjong Karang, Selangor malam tadi.
Dalam persembahan Jumaat lalu, vokalis The 1975, Matty Healy memperlekehkan undang-undang Malaysia.
Healy berkata, kumpulannya membuat kesilapan hadir ke negara yang “memberitahu kami dengan siapa kami boleh melakukan hubungan seks” kerana tidak menyemak apabila membuat tempahan konsert di Malaysia.
Beliau turut bertindak mencium ahli kumpulan lelaki, Ross MacDonald di atas pentas.
Healy juga minum dari botol yang dipercayai berisi arak selain didakwa meludah dan merosakkan kamera dron pihak penganjur.-MalaysiaGazette