Para peserta bergambar bersama pengurusan dan mahasiswa UPM.

TANJUNG KARANG – Seramai 50 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) berkongsi pendidikan berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan lebih 100 komuniti Tanjung Karang sebagai satu latihan sosial baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, program bernama ‘Semarak Siswa Madani @ Tanjung Karang’ anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tersebut memperkenalkan idea baharu pelajar universiti melalui aktiviti demontrasi STEM.

“Program ini membolehkan pelajar mengembangkan kemahiran, bakat, berfikiran kritis dan kreatif semasa khidmat sosial dengan komuniti Tanjung Karang.

“Kami juga mempamerkan produk pertanian UPM melalui as pengembangan pertanian UPM yang dikendalikan oleh pegawai UPM,” katanya dalam program yang dirasmikan oleh mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias di Pusat Komuniti Kampung Air Buang di sini.

Sementara itu, ketua pasukan Outreach Physics STEM, Ahmad Danish Iskandar Mohd Fadzil yang juga pelajar UPM Bacelor Sains Fizik berkata, program itu memberikan pendedahan kepada komuniti luar bandar tentang kepentingan STEM dalam kehidupan seharian.

“Kem STEM dan Pameran STEM bertajuk ‘Waste 2 Wear’ ini menghasilkan alatan bermanfaat berkonsepkan sains termasuk kanta pembesar dan cermin mata dengan menggunakan bahan terpakai seperti botol plastik untuk pertanian komuniti,” katanya yang memenangi Pasukan Sukarelawan Terbaik di Anugerah Putra Ikon UPM 2023 baru-baru ini.

Ketua Projek STEM UPM, Prof. Madya. Dr. Yap Wing Fen pula berkata, aktiviti-aktiviti bersahaja STEM berkongsi kepentingan sains dalam kehidupan dan direka untuk menafikan persepsi murid-murid di komuniti bahawa pembelajaran STEM adalah susah dan membosankan.

Katanya pasukan STEM pelajar UPM menarik perhatian penduduk Tanjung Karang dengan pertunjukan Magik Fizik yang merupakan pendekatan silap mata dan Explorace berkonsepkan STEM untuk menarik perhatian semua lapisan komuniti dari kanak-kanak hingga warga emas.

STEM Funfair pula berkonsepkan permainan kanak-kanak STEM seperti Gelung Impian, Meletop Pop-pop dan Ping-ping-pong untuk menarik kanak-kanak kagar seronok mempelajari sains menerusi permainan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast