Dominic.

KUALA LUMPUR – Beberapa jam selepas pengkebumian Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub, ciapan Presiden Gerakan mencuri tumpuan di laman media sosial.

Ciapan @Dr. Dominic Lau 刘华才 🇲🇾 didakwa mengutarakan cadangan untuk beliau bertanding di kerusi Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang.

“Okey tak kalau saya bertanding dalam PRK Pulai?” ciap beliau.

Status itu dimuatnaik pada jam 12.37 tengah hari tadi yang sempat ditangkap layar oleh Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.

Dalam satu kenyataan, Dominic mendakwa aplikasi Twitter beliau telah digodam pihak tidak bertanggungjawab.

“Dimaklumkan bahawa laman sosial Twitter rasmi Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia digodam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab tengah hari tadi.

“Pentadbir akaun Twitter rasmi (Dr.Dominic Lau 刘华才) sangat terkejut apabila terdapat satu ciapan pada pukul 12.37 yang kurang hormat iaitu ‘Kalau saya tanding PRK Pulai ok tak? Untuk makluman, ciapan tersebut bukannya datang daripada YB Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai atau pentadbir yang sah.

“Pihak pentadbiran sedang mengesan punca insiden ini. Buat masa sekarang, protokol keselamatan yang terbaru telah diaktifkan termasuk penukaran kata laluan pada semua akaun media sosial rasmi beliau,” kata Dominic, hari ini.

Dominic berkata, beliau akan membuat laporan polis dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Dominic mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, yang telah kembali ke rahmatullah semalam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast