GEORGE TOWN – DAP Pulau Pinang mengemukakan tujuh calon muka baharu bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Ogos ini.
Antara tujuh muka baharu ditampilkan ialah Phee Syn Tze yang merupakan anak kepada penyandang DUN Sungai Puyu, Phee Boon Poh untuk berentap di kerusi bapanya.
Selain itu, K. Kumaran (Bagan Dalam); S. Sundarajoo (Perai); Chee Yeeh Keen (Bagan Jermal); Joshua Woo Sze Zeng (Pulau Tikus); Wong Yuee Harng (Pangkalan Kota) dan Connie Tan Hooi Peng (Seri Delima).
Selain itu, 10 penyandang pula kekal bertanding di kerusi DUN masing-masing.
Mereka terdiri daripada Chow Kon Yeow (Padang Kota); Lim Guan Eng (Air Putih); Zairil Khir Johari (Tanjong Bungah); Jagdeep Singh Deo (Datok Keramat); Teh Lai Heng (Komtar) Liew Siew Khim (Sungai Pinang); Ong Ah Teong (Batu Lanchang); Joseph Ng Soon Siang (Air Itam); Heng Lee Lee (Berapit) dan Jason Hng Mooi Lai (Jawi).
Manakala dua lagi penyandang iaitu Daniel Gooi Zie Sen (DUN Pangkalan Kota) akan bertanding di kerusi Padang Lalang dan Wong Hon Wai (Parlimen Bukit Bendera) pula di kerusi Paya Terubong.
Berdasarkan pengumuman itu, sebanyak 36.84 peratus merupakan calon-calon muka baharu manakala 63.16 peratus merupakan calon yang dikekalkan bertanding.
Sementara itu, tujuh penyandang kerusi DUN telah digugurkan DAP iaitu P. Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II (Perai); M. Satees (Bagan Dalam); Phee Boon Poh (Sungai Puyu); Soon Lip Chee (Bagan Jermal); Lee Chun Kit (Pulau Tikus); Chong Eng (Pangkalan Kota) dan Yeoh Soon Hin (Paya Terubong).
Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan, kesemua calon digugurkan atas beberapa faktor termasuk sudah bertanding lebih tiga penggal, usia selain prinsip DAP yang akan memberi laluan kepada calon muka baharu.
Beliau turut menyeru semua jentera dan kekuatan parti disatukan supaya DAP kekalkan rekod kemenangan 19 kerusi di Pulau Pinang.
“Indeks petunjuk prestasi (KPI) sejak 2008 menunjukkan DAP kekal menang di 19 kerusi yang dipertandingi.
“Jadi kita mesti gerakan jentera untuk memastikan kemenangan di 19 kerusi ini agar Kerajaan Perpaduan dapat ditubuhkan di negeri ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pengumuman Calon-Calon DAP Pulau Pinang dan Kedah di Hotel Jen, di sini, hari ini.
Dalam majlis sama, Anthony turut menamakan dua lagi calon bagi DUN Kedah iaitu Teh Swee Leong dan Tan Kok Yew masing-masing bertanding bagi Kota Darul Aman dan Derga. – MalaysiaGazette