Bangunan Maybank Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Sejak awal pagi hari ini, aplikasi MAE dan platform web Malayan Banking Bhd (Maybank) mengalami gangguan sehingga mencetus keluhan ramai orang.

Gangguan berkenaan berlarutan sehingga beberapa jam.

Sehubungan dengan itu, Maybank dalam satu kenyataan di Twitter memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.

Maybank berkata, pihaknya sedang berusaha menyelesai dan memulihkan perkhidmatannya yang terjejas.

“Kami memohon maaf kepada semua pelanggan yang terjejas atas kesulitan yang disebabkan oleh gangguan ini.

“Kami menghargai sikap timbang rasa dan kesabaran pelanggan kami dan akan terus memaklumkan kepada mereka secara berkala melalui media sosial rasmi Maybank dan platform M2U,” kata bank tersebut.

Katanya, pelanggan boleh menghubungi Khidmat Pelanggan Kumpulan Maybank di talian 1-300-88-6688 (Malaysia) atau +60378443696 (Luar Negara) atau mengikuti/berkomunikasi dengan bank melalui platform media sosial untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Bermula 1 Julai lalu, semua pengesahan Secure2u Maybank dipindahkan ke Aplikasi MAE.

Ia bagi memastikan pengalaman perbankan yang lebih selamat untuk pelanggan.-MalaysiaGazette