KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) masih lagi merangka pelan tindakan berkaitan industri umrah yang perlu dinilai semula bagi menyelesaikan masalah penipuan.
Timbalan menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan berharap pelan tindakan itu dapat disiapkan segera agar agenda yang dikehendaki dapat dilaksanakan secepat mungkin.
“Dengan blueprint yang kita wujudkan dalam masa terdekat ini ianya memang berkait rapat dengan perancangan kita untuk mewujudkan dan meperkenalkan Malaysia sebagai hub umrah di Rantau Asia termasuklah negara China, Korea, Jepun, Australia dan New Zealand.
“Kita (MOTAC) akan bentangkan kepada Kabinet dan ini akan dilakukan oleh menteri. Kalau boleh kita nak lakukan secepat mungkin dan saya percaya MOTAC dan kementerian sendiri sedang mempercepatkan blueprintitu supaya kita mahu melihat agenda ini dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis Pelancaran Promosi “Merdeka Madness 66% For All di sini hari ini.
Untuk rekod pada Mei lalu, Khairul Akbar berkata, MOTAC sedang membangunkan pelan tindakan berkenaan industri pelancongan di negara ini susulan ia masih banyak ketinggalan dalam pelbagai aspek terutama berkaitan akta untuk mempertahankan pengendali atau jemaah umrah.
Katanya, kerajaan akan melakukan langkah penambahbaikan dalam industri pelancongan, denga pertamanya melihat kembali akta dan membangunkan blueprint berkenaan.
Jelas beliau, Kedua-dua perkara itu sangat berkait rapat dan disebabkan itu juga Menteri MOTAC, Datuk Seri Tiong King Sing setuju untuk membangunkan perkara yang sama selari dengan akta yang mahu diubah. – MalaysiaGazette