BUTTERWORTH – “Ada seorang ‘maharaja’ dalam DAP yang menentukan senarai calon untuk bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang pada 12 Ogos ini.”
Itu dakwa Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees.
Satees juga mendakwa pemimpin DAP itu membuat keputusan sendiri sekali gus membelakangi senarai dikeluarkan oleh Setiausaha Agung DAP yang dipersetujui oleh parti peringkat negeri.
Beliau yang enggan mengulas nama individu tersebut turut memberi gambaran Pulau Pinang kini di ambang bahaya disebabkan tindakan ‘maharaja’ itu.
“Saya rasa Pulau Pinang kini sedang hadapi satu bahaya yang mana ada seorang ‘maharaja’ mahu buat semua keputusan.
“Sehingga kini, pencapaian Pulau Pinang di bawah pemerintahan DAP amat membanggakan namun ia bukan alasan untuk kita benarkan diktator itu untuk bermaharajalela di negeri ini.
“Saya difahamkan senarai yang dikeluarkan Setiausaha Agung DAP (Anthony Loke) semalam bukanlah senarai yang dipersetujui negeri walaupun mereka mendakwa ia adalah keputusan lima pimpinan tertinggi atau Jawatan Kerja Pusat (CEC) namun saya percaya ini adalah keputusan seorang dan kepentingan seseorang,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.
Mengulas lanjut, Satees akur namanya tidak tersenarai sebagai calon pada PRN kali ini namun terkilan apabila alasan yang diberikan tidak senada dengan tindakan parti.
“Mereka mendakwa sedang melakukan proses peremajaan parti, kena pilih darah baharu (young blood) sedangkan saya baru berusia 38 tahun dan tempoh perkhidmatan pun baru sepenggal.
“Peliknya individu yang dicalonkan untuk menggantikan tempat saya berusia 45 tahun dan ada juga yang sudah berkhidmat lebih tiga penggal tapi masih dicalonkan.
“Adakah sebab saya tidak pernah menjadi pemandu dan tukang mengangkat beg pemimpin itu mungkin menyebabkan nama saya digugurkan,” katanya secara sinis.
Tambah Satees, dia terkejut enam daripada tujuh ADUN yang digugurkan oleh parti antara individu yang pernah menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Semalam, Anthony Loke mengumumkan seramai 19 calon DAP yang akan bertanding pada PRN negeri itu dan mereka terdiri daripada 12 penyandang manakala tujuh calon muka baharu.
Tujuh penyandang yang telah digugurkan iaitu P. Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II (Perai); M. Satees (Bagan Dalam); Phee Boon Poh (Sungai Puyu); Soon Lip Chee (Bagan Jermal); Lee Chun Kit (Pulau Tikus); Chong Eng (Pangkalan Kota) dan Yeoh Soon Hin (Paya Terubong).
Manakala Lim Guan Eng kekal mempertahankan kerusinya di DUN Air Putih. – MalaysiaGazette
DAP PKR UMNO sembang PAS dan BERSATU berebut kerusi DUN… huh dasyat rupanya.. ZAHID Hisham Lokman Puad Asyraf tak TAHU ke tungganglanggang DAP tu.. Tarak cerita pun… UMNO akan dibersihkan dalam PRN 6 NEGERI.. ZAHID HAMIDI dah ready ke ..