Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming melihat kawasan sekitar Taman Awam Pengkalan Batu dalam satu lawatan kerja Sentuhan Kasih Selangor di Klang. Foto MOHD ADZLAN, 26 JULAI 2023.

KLANG –¬†Kerajaan Persekutuan menerusi Majlis Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju dan meluluskan cadangan naik taraf Majlis Perbandaran Klang (MPK) kepada status bandar raya.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata, cadangan berkenaan dipersetujui Jemaah Menteri Kabinet yang bermesyuarat, semalam.

“Perubahan status MPK ini akan memperkasakan Klang sebagai sebuah bandar raya dan pelabuhan berdaya saing di peringkat global, juga bakal menjadi faktor pertumbuhan ekonomi setempat dan peningkatan kualiti hidup rakyat serta daya saing negara,” katanya.

Terdahulu beliau merasmikan di Program Sentuhan Kasih Selangor di sini, hari ini.

MPK telah ditubuhkan sejak tahun 1890 dan kini telah memenuhi semua kriteria bagi mencapai status bandaraya pada usia 133 tahun.

Pihak berkuasa tempatan ini juga berupaya menyediakan perkhidmatan pada tahap yang cemerlang, kemudahan infrastruktur dan utiliti awam yang terbaik serta berkeupayaan membentuk jenama dan imej bandaraya yang unik, mampan serta berimejkan bandar warisan dan sejarah.

Nga Kor Ming diiringi Yang Dipertua MPK, Noraini Roslan (kiri) meninjau sekitar Jambatan Kota, Klang untuk laluan pejalan kaki dan basikal yang akan dinaik taraf ketika lawatan kerja Sentuhan Kasih Selangor di sekitar Klang. Foto MOHD ADZLAN, 26 JULAI 2023.

Bagi memastikan Klang sebagai sebuah bandar yang berdaya huni, MPK komited bagi memastikan Klang kekal sebagai bandar mampan dan bandar bahagia
yang diukur melalui Sistem Jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar-Luar Bandar Malaysia (MURNInets). Data pada tahun 2022 menyenaraikan Klang sebagai
antara 10 Bandar Paling Bahagia di Malaysia.

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui geran tahunan daripada Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM 5 juta setahun
kepada MPK dalam inisiatif membantu membiayai belanja mengurus Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). MPK telah menerima sejumlah RM5.722 juta bagi tahun 2020
hingga 2023 yang dibelanjakan melalui program pembangunan fizikal dan sosio-ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.

MPK juga telah menerima RM3.9 juta bagi tahun 2020 hingga 2022 melalui Program Pemberian Peruntukan Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) yang
bertujuan membaikpulih dan menyelenggara perumahan berstrata kos rendah atau sederhana rendah swasta. Ia bertujuan bagi menyediakan persekitaran kediaman
yang selesa dan berkualiti kepada penghuni perumahan berstrata.

Nga Kor Ming melihat plan projek Jambatan Kota, Klang untuk laluan pejalan kaki dan basikal yang akan dinaik taraf ketika lawatan kerja Sentuhan Kasih Selangor di sekitar Klang. Foto MOHD ADZLAN, 26 JULAI 2023.

Bersempena dengan Program Sentuhan Kasih KPKT di negeri Selangor pagi tadi, Kor Ming mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk projek-projek menaik taraf Pasar Pelabuhan Klang dan gerai-gerai di kawasan Pelabuhan Klang, Jalan Goh Hock Huat, laluan pejalan kaki dan basikal di Jambatan Kota, kerja-kerja membekal dan memasang lampu solar di sekitar kawasan Seri Kerayong, Taman Kerayong, membina tandas awam di Pangkalan Batu, Klang dan lain-lain.

Sehingga Julai 2023, KPKT telah meluluskan sebanyak RM23.3 juta peruntukan untuk menaik taraf dan menyelenggara infrastruktur dan kemudahan awam kepada PBT –
PBT di Selangor di bawah peruntukan BP.1 yang disalurkan melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT). – MalaysiaGazette