Gambar hiasan.

IPOH – Seorang pelajar Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di Gunung Rapat di sini mengalami kecederaan selepas dipercayai dibuli oleh seorang pelajar Tingkatan Lima, Isnin lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata laporan polis telah dibuat di Kuala Lumpur oleh penjaga pelajar itu pada hari yang sama.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada Pejabat Pendidikan Daerah Kinta Utara.

“Kedua-dua pelajar lelaki terlibat merupakan atlet sepak takraw. Saya difahamkan mangsa ditendang dan dipijak oleh pelajar senior berkenaan.

“Pihak sekolah telah pun memohon kepada penjaga untuk mengambil pelajar (mangsa) ini dibawa balik ke rumah untuk mendapat pemeriksaan lanjut dan juga diberi cuti atas faktor keselamatan,” katanya keapda pemberita di Bangunan Perak Daruk Ridzuan di sini hari ini.

Khairudin berkata pihaknya sedang menunggu laporan penuh daripada pihak pengurusan sekolah berhubung kronologi kejadian dan tahap kecederaan mangsa serta tindakan yang akan diambil terhadap pelajar yang memukul mangsa.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast