ALOR SETAR – Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kesemua Exco kerajaan negeri itu diminta memberi keterangan berhubung kes disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau berkata ada dalam kalangan Exco yang telah memberi keterangan masing-masing pada hari ini, sementara selebihnya dijangka berbuat demikian, esok.
“Saya pun hairan, pasal tak pernah lagi Exco-Exco, tiap-tiap orang dipanggil untuk mengesahkan minit mesyuarat Exco. Ada Exco yang dah beri keterangan, ada yang belum.
Muhammad Sanusi berkata demikian selepas diminta mengulas sama ada beliau telah dipanggil SPRM untuk dirakam percakapan berhubung kes kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata sudah memanggil 12 saksi berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa dalam isu kecurian REE di Kedah.
Sementara itu, pada sidang media sama Muhammad Sanusi berkata dia juga akan memberi keterangan kepada polis hari ini, namun tidak pasti ia berkaitan kes apa.
— BERNAMA