BANGKOK – Bekas Perdana Menteri Thailand yang dibuang negera, Thaksin Shinawatra merancang untuk kembali ke negara itu pada 10 Ogos ini, kata anak perempuannya dan kemungkinan dipenjarakan susulan krisis politik yang berpanjangan selepas pilihan raya umum pada Mei lalu.
“Ayah akan kembali pada 10 Ogos di Lapangan Terbang Don Muang. Keputusan untuk pulang ini adalah perkara yang serius diperkatakan oleh ayah sejak awal tahun 2022.”,” kata Paetongtarn Shinawatra dalam catatan media sosial, merujuk kepada sebuah lapangan terbang di ibu negara Bangkok.
Thaksin, 74, memperoleh kekayaan dalam perniagaan telekomunikasi dan menjadi perdana menteri dari 2001 sehingga beliau digulingkan dalam rampasan kuasa 2006.
Beliau kini dalam buangan sendiri selepas melarikan diri dari Thailand untuk mengelakkan hukuman penjara kerana rasuah pada 2008.
Parti Pheu Thai yang disokong oleh Thaksin kini cuba membentuk kerajaan di Thailand, selepas menduduki tempat kedua dalam pilihan raya umum 14 Mei.
Timbalan ketua polis negara Thailand Surachate Hakparn berkata, Thaksin akan tertakluk kepada proses kehakiman sejurus kepulangannya.
Thaksin berdepan hukuman penjara 10 tahun atas beberapa kes di mana dia disabitkan kesalahan oleh mahkamah agung negara, tuduhan yang menurutnya bermotifkan politik.
Sebelum ini, Thaksin dilaporkan akan kembali ke Thailand pada bulan Julai. – Agensi