KUALA LUMPUR – Pemimpin Pergerakan Pemuda UMNO yang terpilih menjadi calon Perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri diingatkan mereka masih terikat kepada Indeks Prestasi Utama (KPI) sayap parti itu.
Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, meskipun mereka menang dan menjadi wakil rakyat kelak, kegagalan menepati KPI boleh menjejaskan kedudukan dalam parti.
“Walaupun pencalonan ditentukan pucuk pimpinan, namun mandat yang diberikan datang daripada rakyat.
“Calon-calon BN daripada Pemuda UMNO yang menang perlu mencapai KPI diberikan demi menjalankan tanggungjawab sebagai Yang Berkhidmat.
“Kegagalan menepati KPI boleh dipanggil, diberi amaran atau dikenakan tindakan,” katanya pada sidang media di Menara Dato Onn, di sini, hari ini.
Jumaat lalu, Barisan Nasional (BN) mengumumkan senarai calon PRN ke-15 yang akan bertanding di 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri pada 12 Ogos ini.
Dari jumlah itu, seramai 12 wakil Pergerakan Pemuda UMNO, dan 13 bekas pimpinan sayap UMNO itu akan bertanding sebagai calon Perpaduan.
Dalam pada itu, prestasi wakil rakyat daripada Pemuda UMNO akan dinilai dari semasa ke semasa menerusi tinjauan sentimen rakyat.
“Ketegasan terhadap pemimpin Pemuda ini dituntut bagi membuktikan komitmen parti kepada rakyat.
“Ia sebagai mesej jelas bahawa gelaran Yang Berhormat adalah mesti menjadi Yang Berkhidmat terlebih dahulu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette