social media online
Gambar hiasan

Oleh: Ts. Dr. Norhanisha Yusof dan Azrayhafizi Matzin

KEPESATAN teknologi maklumat (IT) pada hari ini telah banyak mengubah kehidupan seharian manusia dan memudahkan gaya hidup dalam pelbagai sektor atau bidang. Penggunaan IT dengan sokongan rangkaian Internet semakin meningkat dari hari ke hari, namun sekiranya individu tidak peka dengan jenayah siber (cyber crime) maka seseorang itu boleh tertipu. Jenayah siber merupakan istilah yang mengambarkan mana-mana aktiviti tidak sah yang menggunakan komputer sebagai cara utama untuk mendapatkan komisen atau melakukan kecurian. Maka privasi dan keselamatan data sesebuah organisasi dan setiap individu perlu diberi perhatian dan dilindungi.

Keselamatan sesuatu data bukan sahaja dalam rangkaian sosial tetapi juga semasa transaksi bank seseorang dilakukan. Pernah berlaku kes di mana individu pernah kehilangan wang berpuluh ribu dalam satu malam dan tiada kod kebenaran transaksi (TAC) dihantar. Ini menunjukkan keselamatan data seseorang mudah ditembusi sekiranya kita tidak bersiap sedia untuk melindungi diri dan peranti yang digunakan. Statistik daripada CyberSecurity Malaysia menyatakan sebanyak 4,741 kejadian berkaitan dengan penipuan pada Januari sehingga Disember 2022. Penipuan dalam talian boleh berlaku di mana seseorang itu akan berusaha untuk mendapatkan akses ke maklumat anda dengan pelbagai cara. Mereka yang ingin menipu akan menyakinkan anda untuk menghantar maklumat secara sukarela dan anda tidak menyedari bahawa anda sedang ditipu.

Internet pada hari ini telah menjadi satu platform yang menakutkan dan berbahaya, oleh itulah anda perlu peka dan bersedia agar dapat tidak mudah ditipu. Jenayah siber menjadi
ancaman kepada keselamatan maklumat. Apabila kadar penggunaan Internet semakin meningkat, maka kesedaran siber bertukar menjadi semakin diperlukan. Keselamatan siber ialah satu kaedah pencegahan yang digunakan untuk melindungi maklumat dalam sistem komputer anda daripada dicuri, dikompromi atau diserang oleh seseorang yang tidak bertanggungjawab atau dikenali sebagai penjenayah siber. Oleh itu, setiap individu harus peka dengan keselamatan siber ini bagi menyelamatkan diri mereka daripada jenayah siber yang semakin meningkat ini.

Langkah keselamatan siber

Antara langkah-langkah keselamatan siber yang perlu diketahui oleh para pengguna yang selalu menggunakan Internet pada hari ini adalah:

1) Mengawal capaian dan mempunyai kata laluan kukuh
Perkara paling penting adalah pengguna mempunyai kata laluan yang kukuh dan unik untuk mengelakkan daripada dicerobohi oleh penjenayah siber. Kata laluan yang kukuh
mengandungi sekurang-kurangnya 12 karekter dan menggunakan gabungan seperti abjad, nombor, simbol, huruf besar dan huruf kecil sama ada email atau sistem-sistem tertentu yang digunakan. Contohnya SitiYusof@70

2) Pengesahan data dan maklumat
Sebarang dokumen yang diterima oleh pengguna mestilah disahkan sebelum dimuat turun. Pastikan alamat email yang diterima oleh anda tidak meragukan. Sesuatu dokumen perlu disemak sama ada ianya berasal dari sumber yang boleh dipercayai atau tidak. Contohnya, pautan yang diterima oleh pengguna daripada sesebuah institusi atau organisasi perlu melalui email rasmi dan jika perlu, pengguna boleh menghubungi pihak berkenaan bagi mengesahkan email serta pautan yang telah diterima bagi mengelakkan daripada penipuan. Oleh itu, jangan klik pautan dari sumber yang meragukan. Pengguna juga dilarang untuk menggunakan aplikasi percuma untuk menghantar sebarang dokumen rasmi kepada organisasi tertentu.

3) Perisian anti-virus yang “Auto-update”
Sebaiknya pengguna mempunyai perisian anti-virus di dalam sistem komputer mereka untuk mengesan, menghalang dan mengeluarkan program perisian yang tidak sah seperti virus dan cecacing (worms). Menurut laman sesawang CyberSecurity Malaysia, terdapat sebanyak 1,023 kejadian berkaitan kod berniat jahat (malicious code) pada Januari sehingga Disember 2022. Oleh itu, perisian anti-virus adalah keperluan asas untuk setiap sistem kerana ia mempunyai ciri kemaskini automatik (auto-update) bagi membolehkan program memuat turun profil virus baharu dan menyemak virus baharu itu sebaik sahaja ia dikenalpasti.

4) Kawalan Capaian Wireless Fidelity (Wi-Fi)
Wi-Fi merupakan sebuah teknologi komunikasi menggunakan gelombang radio untuk bertukar maklumat. Wi-Fi membenarkan peranti elektronik bertukar data atau berhubung ke Internet dengan menggunakan gelombang radio contohnya 2.4 GHz dan 5 GHz. Maka, pengguna digalakkan menggunakan sambungan Internet di rumah atau rangkaian mudah alih (Virtual Private Network (VPN)) berbanding penggunaan Wi-Fi di tempat awam.

5) Firewall
Firewall ialah program perisian atau perkakasan yang membantu membuat saringan terhadap penggodam, virus dan cecacing yang cuba untuk mencapai komputer anda melalui sambungan Internet. Firewall sangat diperlukan dalam sistem pengkomputeran untuk mengesan perisian yang tidak diingini (malware). Program perisian ini akan merekod dan memeriksa segala mesej yang masuk atau keluar dari Internet serta menyekat mesej yang tidak memenuhi kriteria keselamatan yang ditetapkan. Maka, setiap organisasi atau individu digalakkan mempunyai program perisian Firewall untuk meindungi sistem pengkomputeran anda.

Oleh itu, setiap individu malah organisasi perlu bersiap sedia dengan strategi-strategi yang berkesan untuk menangani jenayah siber kerana pada hari ini, kita menggunakan teknologi yang merentasi sempadan.

Penulis dari Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast