ISKANDAR PUTERI – Sebuah lagi kilang didapati memasang Jalur Gemilang dan Bendera Johor secara terbalik dan kali ini pula di Kawasan SILC, dekat sini.
Kejadian tersebut diadukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad yang menyifatkan perbuatan berkenaan sebagai sangat biadab dan sewajarnya tidak berlaku dalam bulan kemerdekaan.
Beliau menggesa Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan polis mengambil tindakan tegas sekiranya hasil siasatan mendapati pemasangan bendera itu dilakukan dengan sengaja.
“Saya menerima aduan mengenai sebuah kilang di Kawasan SILC, Iskandar Puteri yang memasang bendera secara terbalik.
“Sikap ini sangat kurang ajar dan tidak berprinsip. Saya menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap isu ini,” katanya menerusi hantaran dalam media sosial hari ini.
Pandak menegaskan, perkara membabitkan Jalur Gemilang dan bendera Johor tidak boleh dipandang ringan kerana kedua-duanya melambangkan maruah, kedaulatan serta identiti negara dan negeri.
“Negara kita sudah merdeka hampir 69 tahun, tetapi masih ada pihak yang dilihat sengaja mengeruhkan keadaan dan tidak mempunyai semangat patriotik.
“Kalau benar ia dilakukan dengan sengaja, ini bukan lagi soal tersilap memasang bendera, tetapi soal menghormati negara dan negeri tempat kita mencari rezeki,” katanya.
Tegasnya, pihak pengurusan kilang juga perlu memberi perhatian serius terhadap perkara itu dan memastikan bendera dipasang mengikut kedudukan yang betul.
Ujarnya, tindakan tegas wajar diambil bagi memastikan kejadian sama tidak berulang serta menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya lebih menghormati simbol negara dan negeri.
Kelmarin polis menahan seorang lelaki warga Nepal dan seorang wanita tempatan kerana terlibat memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik di sebuah kilang alat ganti di Pusat Perindustrian Indahpura, Kulai .
Terdahulu tular foto memaparkan Jalur Gemilang dan bendera Johor dipasang secara terbalik depan kilang itu hingga mencetuskan kemarahan orang ramai.
Susulan itu Majlis Perbandaran Kulai Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) menutup serta merta operasi kilang berkenaan kelmarin.
Seorang pemimpin veteran DAP kemudian dilaporkan berpandangan bahawa denda antara RM200 hingga RM1,000 sudah memadai dan tindakan menutup sementara premis berkenaan adalah keterlaluan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dilaporkan berkata, tindakan itu diambil bagi memastikan pihak pengurusan syarikat bertanggungjawab sepenuhnya atas kecuaian yang menjejaskan simbol kedaulatan dan maruah negara.- MalaysiaGazette
















