Kon Yeow merasmikan Seminar Keselamatan Kebakaran JBPM di Pusat Konvensyen PICCA Arena, Butterworth hari ini. Gambar ihsan FB- CKY

BUTTERWORTH – “Ini satu contoh kebakaran politik yang perlu dipadamkan dan cara terbaik adalah tidak membuat sebarang komen bagi memadamkan kebakaran ini,” kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Beliau membuat komen itu susulan dakwaan Bekas Ahli Majlis Seberang Perai (MBSP) David Marshel mendakwa pemilihan calon DAP Pulau Pinang bagi Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) didalangi seorang individu bagi menjayakan gerakan menjatuhkan Kon Yeow dalam parti tersebut.

Menurut Kon Yeow, senarai nama calon DAP negeri yang diumumkan pada Selasa lalu merupakan keputusan daripada lima Jawatankuasa Pemilihan Calon DAP dan ia diterima sebulat suara oleh pemimpin peringkat negeri.

“Keputusan calon PRN15 sudah menjadi satu hakikat (perlu diterima) kerana senarainya sudah dimuktamadkan.

“Dalam jawatankuasa (pemilihan calon), sekurang-kurangnya mesti ada 10 tangan sebab ia terdiri daripada lima ahli (kepimpinan tertinggi) yang telah membuat keputusan sebulat suara.

“Oleh itu, kita menyeru penyokong untuk terus beri sokongan pada parti dengan mesej utama yang dibawa kepada pengundi adalah berdasarkan prestasi kerajaan negeri ini selama 15 tahun, khususnya dalam tempoh lima tahun saya menjadi Ketua Menteri,” katanya selepas Majlis Perasmian Seminar Keselamatan Kebakaran Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Pusat Konvensyen PICCA Arena di sini, hari ini.

Kon Yeow (tengah).

Mengulas lanjut Kon Yeow sekali lagi menyeru ahli akar umbi untuk menerima keputusan kepimpinan tertinggi parti agar gerak kerja pilihan raya tidak terjejas.

“Memang dalam setiap pilihan raya akan ada pihak yang tidak berpuas hati selepas pengumuman calon dibuat dan tindakan meninggalkan parti termasuk menjadi calon bebas bukan perkara baharu.

“Namun parti perlu menguruskan ketidakpuasan hati dalam kalangan ahli dengan baik agar proses pilihan raya berjalan lancar apatah baki penamaan calon hanya berbaki sehari lagi,” katanya.

Pada Selasa lalu, Anthony Loke mengumumkan 19 calon DAP yang akan bertanding pada PRN negeri itu dan mereka terdiri daripada 12 penyandang manakala tujuh calon muka baharu.

Tujuh penyandang yang telah digugurkan iaitu P. Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II (Perai); M. Satees (Bagan Dalam); Phee Boon Poh (Sungai Puyu); Soon Lip Chee (Bagan Jermal); Lee Chun Kit (Pulau Tikus); Chong Eng (Pangkalan Kota) dan Yeoh Soon Hin (Paya Terubong).

Manakala Lim Guan Eng kekal mempertahankan kerusinya di DUN Air Putih. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast