KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM), Datuk Misbun Sidek akan mengundurkan diri daripada badan induk badminton negara itu.
Timbalan Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam berkata, keputusan diambil selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama.
Kontrak Misbun yang sepatutnya berakhir penghujung tahun 2023 ditamatkan lebih awal 1 Ogos ini, sekali gus meninggalkan BAM selepas kembali ke pangkuan persatuan itu pada 2017.
“Ia bukan soal berpuas hati atau tidak. Dalam perbincangan sebelum ini, ada banyak perbincangan dengan semua pemegang taruh dan ada perkara perlu diubah untuk kebaikan.
“Datuk Misbun memahaminya dan beliau sudah melakukan yang terbaik sepanjang khidmatnya. Bagaimanapun, tidak ada keputusan dan kita perlu melihat dari sudut lain,” kata dalam satu sidang akhbar khas yang berlangsung di ABM, Bukit Kiara di sini hari ini.
Untuk rekod, Misbun pernah meletak jawatan sebagai jurulatih perseorangan negara pada penghujung 2010 dan menolak tawaran BAM untuk dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan tiga tahun kemudian atas ‘sebab peribadi’.
Begitupun, Misbun kembali semula menyertai BAM sebagai ketua jurulatih skuad senior pada 2017 dan kemudian diturunkan pangkat menjadi Pengarah Pembangunan Skuad Remaja pada 2020 dan skop tugasnya dikecilkan kepada pengarah kejurulatihan perseorangan remaja, November tahun lalu. – MalaysiaGazette