Ahmad Zahid Hamidi

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan, di sini, hari ini menetapkan 18 September depan bagi pengurusan kes representasi berkaitan rayuan pendakwaan berhubung 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN) seterusnya yang melibatkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pasukan pendakwaan masih menunggu arahan Peguam Negara (AG) berhubung status representasi yang dikemukakan Timbalan Perdana menter itu yang mahu menggugurkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasannya pada januari lalu.

Difahamkan pasukan pendakwaan masih memerlukan masa tambahan untuk mempertimbang representasi tersebut.

Pada pengurusan kes hari ini, Timbalan Pendaftar, Muhammad Noor Firdaus Rosli memerintahkan pasukan pendakwaan dan pembelaan memaklumkan mahkamah berhubung perkembangan representasi itu pada 18 September ini.

Pada 26 September 2022, pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Ahmad Zahid daripada semua pertuduhan tiga hari sebelum itu.

Pada September 2022, Ahmad Zahid dibebaskan daripada 40 pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat untuk menyambung kontrak berkaitan sistem VLN dan pusat sehenti di China.

Ahmad Zahid berdepan 33 pertuduhan menerima suapan S$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali OSC di China dan VLN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai S$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya, dan Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Pendakwaan kemudian membuat petisyen itu menyenaraikan 15 alasan mengapa Mahkamah Rayuan perlu membatalkan pembebasan Ahmad Zahid dan mengarahkannya untuk membela diri atas pertuduhan berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast