Faisal Abdul Halim. Foto Facebook Selangor FC.

KUALA LUMPUR – Selangor FC (SFC) bakal mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung hukuman penggantungan sebulan yang dikenakan ke atas tonggaknya, Faisal Halim.

“Ya, Insya-Allah, kami akan membuat rayuan untuk keputusan terbabit,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Dr Johan Kamal Hamidon secara ringkas kepada media lapor BH Online.

Terdahulu, skuad ‘The Red Giants’ bakal kehilangan pemain sayap lincahnya itu bagi lima perlawanan selepas digantung badan induk itu selama sebulan bermula Selasa lalu.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman dalam satu kenyataan mengesahkan kenyataan dikeluarkan pemain kebangsaan itu ketika temuramah media selepas berdepan Sabah FC menjadi ‘punca’ dia digantung sebulan oleh badan induk itu.

Noor Azman menjelaskan, Faisal dihadapkan ke Jawatankuasa Tatatertib selepas didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (Kenyataan Akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan Kepada Media) menerusi kenyataan yang dikeluarkannya pada 27 April itu.

“Mengikut keputusan, Faisal sebenarnya digantung empat bulan bermula 25 Julai hingga 21 November 2023.

“Bagaimanapun, Faisal hanya dikenakan penggantungan selama sebulan (25 Julai hingga 23 Ogos 2023) yang mana penggantungan tiga bulan seterusnya ditangguh terlebih dahulu tertakluk kepada kelakukan baik selama 12 bulan bermula tarikh 24 Ogos 2023.

“Walau bagaimanapun, Faisal tetap diberikan peluang membuat rayuan rasmi terhadap hukuman penggantungan yang dikenakan ke atasnya itu untuk dibawa ke Jawatankuasa Rayuan FAM,” kata Noor Azman.

Meskipun tidak dinyatakan secara khusus kenyataan yang dilontarkan Faisal namun difahamkan ia merujuk kepada kenyataan Faisal yang mendakwa ramai pihak yang ingin menjatuhkan SFC. – MalaysiaGazette