GEORGE TOWN – Pimpinan Pas Pulau Pinang akan mengadakan perjumpaan dengan cawangan partinya di Bayan Lepas berhubung dakwaan ‘memboikot’ calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dominic Lau Hoe Chai yang bertanding kerusi berkenaan.

Pesuruhjaya Pas negeri, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, perjumpaan untuk membincangkan isu berbangkit itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Memang ada timbul rasa marah dan tidak puas hati dalam kalangan ahli Pas di kawasan berkenaan berhubung pencalonan Dominic Lau.

“Bagaimanapun, bila ia sudah diputuskan pimpinan pusat kita (Pas) akur namun masih ada yang tidak puas hati tambahan pula mereka  (jentera) telah melakukan kerja-kerja menyantuni pengundi di kawasan itu.

“Jadi kita akan buat perjumpaan dan sekurang-kurangnya meminta mereka (ahli Pas) untuk keluar mengundi,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Terdahulu, tiada pimpinan Pas menyertai perarakan mahu pun hadir bagi menyatakan sokongan terhadap calon PN bagi DUN Bayan Lepas di Pusat Penamaan Calon di Dewan Bukit Belah, Teluk Kumbar.

Pencalonan Dominic menjadi kontroversi apabila akar umbi Pas kawasan berkenaan mendakwa mereka tidak dimaklumkan mengenai perkara tersebut meskipun ia merupakan kerusi tradisi Pas.

Pada Rabu lalu, sekumpulan ahli Pas mengadakan bantahan aman menolak Dominic sebagai calon PN di DUN Bayan Lepas malah mereka turut memberi amaran akak memboikot hari penamaan calon dan menutup menutup Bilik Operasi Pas di seluruh kawasan itu sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi. – MalaysiaGazette