Bursa Malaysia ringgit
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka mengekalkan trajektori peningkatan pada minggu depan berikutan sentimen pasaran yang lebih baik dan sokongan yang ketara daripada dana asing.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, beliau menjangkakan momentum belian di pasaran tempatan akan berterusan minggu depan walaupun aktiviti pengambilan untung mungkin berlaku.

“Kami percaya unjuran ini akan kekal positif dalam masa terdekat sehingga tempoh pertengahan berikutan penilaian yang menarik dan sokongan berterusan daripada dana asing.

“Dana asing berkemungkinan mengekalkan pembelian di rantau ini disebabkan penilaian yang menarik daripada pasaran serantau dan jangkaan kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih baik,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, beliau menjangkakan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) akan berada dalam jajaran 1,445-1,460 minggu depan.

Bagi minggu baru berakhir, FBM KLCI diniagakan sebahagian besarnya tinggi dan memaparkan prestasi yang mengagumkan, didorong sokongan belian yang kukuh daripada institusi tempatan dan dana asing.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 36.83 mata untuk ditutup kepada 1,450.35 berbanding 1,413.52 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 204.14 mata kepada 10,652.93, Indeks FBMT 100 menambah 209.82 mata kepada 10,341.18, Indeks FBM Emas Syariah naik 158.25 mata kepada 10,905.20, Indeks FBM 70 meraih 59.03 mata kepada 13,935.32, manakala Indeks FBM ACE menguncup 8.26 mata kepada 5,321.33.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 451.31 mata kepada 16,179.81, Indeks Perladangan meningkat 62.52 mata kepada 7,150.11, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 4.65 mata kepada 167.51 dan Indeks Tenaga menambah 14.98 mata kepada 832.70.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 18.03 bilion unit bernilai RM10.93 bilion daripada 13.75 bilion unit bernilai RM8.08 bilion pada minggu dagangan sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menambah kepada 12.63 bilion saham bernilai RM9.54 bilion berbanding 9.95 bilion saham bernilai RM7.02 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 2.02 bilion unit bernilai RM301.98 juta berbanding 1.38 bilion unit bernilai RM197.38 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE menambah kepada 3.34 bilion saham bernilai RM1.07 bilion daripada 2.40 bilion saham bernilai RM864.34 juta sebelum ini. – BERNAMA