SEMENYIH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih bakal menyaksikan pertandingan dua penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.
Pengurus Pilihan Raya DUN Semenyih, Norazman Abd Rahim ketika mengumumkan perkara itu berkata, sehingga pukul 10 pagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya menerima dua pencalonan iaitu daripada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Tidak ada calon yang bertanding bagi tiket bebas di kawasan DUN berkenaan.
BN menamakan bekas pegawai bank, Wan Zulaikha Anua, 49, manakala, PN mempertaruhkan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Nushi Mahfodz, 47.
Proses penamaan calon yang bermula pukul 9 pagi di Kompleks MPKj @Ecohill Semenyih ditutup tepat pukul 10 pagi.
Pengumuman mengenai penerimaan borang pencalonan dan calon yang akan bertanding dilakukan oleh Norazman pukul 10.30 pagi.
Terdahulu, penyokong kedua-dua belah parti berkumpul di hadapan kompleks berkenaan sejak pukul 7.30 pagi bagi menyatakan sokongan terhadap calon yang ditonjolkan.
Sebelum ini, DUN Semenyih disandang oleh Zakaria Hanafi dari BN setelah merampas kerusi itu daripada PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Mac 2019.
Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor.
Zakaria menewaskan pencabaranya, Mohammad Aiman Zainali (PH) yang memperoleh 17,866 undi, sementara calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng atau ‘Uncle Kentang’ memperoleh 725 undi.
DUN Semenyih memiliki seramai 53,520 pengundi biasa manakala 109 orang lagi merupakan pengundi tidak hadir. – MalaysiaGazette