Helikopter MRH-90 Taipan

CANBERRA – Australia menghentikan operasi helikopter tentera selepas nahas yang menyebabkan empat anak kapal hilang.

Ketua Tentera Asutralia, Leftenan Jeneral Simon Stuart berkata, tiada satu pun daripada 45 helikopter MRH-90 Taipan tentera akan diterbangkan semula sehingga mereka didapati selamat.

Nahas itu berlaku semasa latihan tentera Australia-Amerika Syarikat (AS) di Pulau Lindeman pada malam Jumaat.

Australia sebelum ini telah memberhentikan Taipannya atas sebab keselamatan.

“Kami tidak menerbangkan MRH-90 hari ini dan tidak akan melakukannya sehingga kami fikir ia selamat untuk digunakan,” kata Stuart.

Nahas pada hari Jumaat berlaku pada kira-kira 10.30 malam, waktu tempatan di Whitsundays, sekumpulan pulau di luar pantai Queensland.

Askar yang hilang di dalam pesawat itu kini telah dikenal pasti milik Rejimen Penerbangan Keenam, yang berpangkalan di Sydney.

Helikopter itu jatuh semasa Latihan Talisman Sabre.

Canberra telah mengumumkan sebelum nahas itu bahawa ia akan menggantikan helikopter Taipan buatan Eropah yang sudah tua dengan Black Hawks buatan Amerika Syarikat.

Tentera didakwa telah membuat aduan mengenai helikopter itu berhubung isu penyelenggaraan dan keselamatan.

Ia pernah ditarik balik selepas kegagalan enjin semasa latihan pada Mac, memaksa anak kapal itu terjun ke laut di luar pantai New South Wales.

Tiada kemalangan jiwa dan MRH-90 yang lain telah kembali beroperasi pada 6 April dengan “mitigasi risiko”.

Jeneral Stuart berkata matlamat semasa adalah untuk mengekalkan Taipan dalam perkhidmatan sehingga 2024 tetapi “apa yang berlaku antara sekarang dan kemudian, daripada apa yang kita pelajari daripada insiden ini, masih belum ditentukan”.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menyifatkan nahas baru-baru ini sebagai peringatan tegas “bahawa tiada hari yang selamat atau mudah bagi mereka yang berkhidmat atas nama negara”. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast