Pejabat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette berkenaan sektor kerajaan sempena Belanjawan 2021 di Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 04 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Empat individu yang merupakan juruterbang dron ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada hari penamaan calon, semalam.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang memberitahu, semua juruterbang terbabit menerbangkan dron tanpa kelulusan di kawasan tumpuan ramai.

Katanya, dron yang digunakan turut dirampas pihak berkuasa dan siasatan lanjut kini sedang dijalankan.

“Salah Satu daripada empat kes yang dilaporkan menyebabkan berlakunya insiden kemalangan membabitkan penggunaan dron pertanian yang jatuh dan mencederakan orang awam.

“Mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Kes ini sedang disiasat oleh CAAM mengikut Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan PDRM mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja.

“Jika disabitkan kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya sekali seperti yang ditetapkan di bawah seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

CAAM mengingatkan orang ramai bahawa pengendalian dron tanpa kelulusan adalah dilarang sepanjang berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN).

Katanya, sebarang aktiviti dron tanpa kelulusan yang boleh mengundang bahaya kepada orang awam atau harta benda adalah satu pelanggaran kepada peraturan mengikut Seksyen 4 Akta Penerbangan Awam 1969, Peraturan 140-144 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan Civil Aviation Directives (CAD) yang dikeluarkan oleh CAAM mengikut seksyen 24O Akta Penerbangan Awam 1969.

Tegasnya, jika disabitkan kesalahan merea yang terlibat boleh dikenakan denda atau hukuman penjara seperti yang ditetapkan di bawah peraturan yang berkaitan. – MalaysiaGazette