Foto Facebook Justin Hoh.

KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh menyifatkan Datuk Misbun Sidek bukan sahaja jurulatih terbaik namun sudah dianggap seperti bapa kepadanya.

Malah pemain berusia 19 tahun itu menolak tanggapan segelintir pihak yang menyifatkan kaedah kejurulatihan diterapkan lagenda badminton itu sudah ketinggalan zaman.

“Saya tahu ramai orang di luar sana meragui dan merasakan method kejurulatihan anda sudah ketinggalan zaman. Walaupun saya hanya tiga tahun bersama anda (Misbun), saya mahu katakan yang anda adalah jurulatih terbaik di mata saya.

“Terima kasih kerana mengajar saya bagaimana untuk menjadi atlet yang berdisiplin. Tanpa anda, saya tidak berada di mana saya berada sekarang.

“Sekali menjadi guru, selamanya adalah bapa. Terima kasih coach Misbun,” tulis Justin menerusi hantaran di laman Facebook miliknya hari ini.

Justin antara pemain yang menerima sentuhan Misbun ketika berada dalam skuad remaja dan potensinya semakin menyerlah pada 2022.

Sepanjang musim 2022, Justin merangkul tiga kejuaraan kejohanan peringkat senior berstatus antarabangsa iaitu Kejohanan Antarabangsa Bonn (Jerman), Terbuka Croatia dan Antarabangsa Malaysia.

Dia kemudian dinaikkan pangkat ke skuad senior pada Disember 2022 dan kini berada di bawah kendalian Hendrawan dan Datuk Tey Seu Bock.

Kelmarin, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan badan induk itu mencapai kata sepakat dengan Misbun untuk menamatkan kontraknya selaku pengarah pembangunan remaja negara lebih awal berbanding yang sepatutnya pada Disember depan.

Ia susulan kemerosotan prestasi dialami pemain remaja termasuklah aksi hambar mereka ketika Kejohanan Badminton Remaja Asia di Yogyakarta, Indonesia, awal bulan ini apabila pulang dengan tangan kosong. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast