Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh melakukan 'flag off' lori Jualan Rahmah Bergerak pada Majlis Penutup Hari Pengguna Kebangsaan 2023 di Piazza Pavilion, Bukit Jalil. Foto FAREEZ FADZIL, 30 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta bagi program Jualan Rahmah.

Anwar berkata, peruntukan tersebut bagi mengembangkan program berkenaan di kawasan Dewan Undangan Negeri yang boleh dinikmati oleh lebih banyak rakyat terutama golongan miskin.

Program Jualan Rahmah ketika ini hanya dijalankan di peringkat Parlimen.

“Sekarang (dapat dilihat) kejayaan bila dia kurangkan harga sebanyak 15 peratus, dalam sejam dua jam macam Menu Rahmah itu habis, sambutan baik.

“Tapi kini di kawasan Parlimen hanya satu kawasan. Jadi saya minta perluaskan untuk DUN (Dewan Undangan Negeri) walaupun dalam skala yang kecil tapi khusus Jualan Rahmah,” kata Anwar.

Perdana Menteri mengumumkan peruntukan tersebut dalam ucapan perasmian penutup sambutan Hari Rahmah Kebangsaan anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Beliau berkata, tidak bermakna apabila membicarakan soal perjuangan, rahmah dan belas kasihan namun soal makanan untuk golongan miskin tidak terjamin.

“Tidak ada makna bicara soal rahmah, soal perjuangan, tidak ada erti bicara soal belas kasihan, kalau soal makanan mereka tak terjamin. Sebab itu dalam Belanjawan Madani, saya kata tahun ini 2023 mencatatkan 130,000 keluarga miskin tegar.

“Saya mesti noktahkan dan kita mahu sasarkan rekod di mana dengan keprihatinan dan belas kasihan dalam kalangan elit, profesional dan bisnes, tiada sebab untuk kita tidak boleh sekurang-kurangnya memberikan keperluan asas untuk komuniti miskin ini,” katanya.

Sementara itu,  Anwar turut mengimbas perbualannya bersama bekas Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub sewaktu pelaksanaan Program Jualan Rahmah baru-baru ini.

“Saya beritahu Salahuddin bila kerajaan ambil inisiatif ini, ia disambut pihak restoran, kedai dan toko-toko. Saya sangat rasa terharu dan saya bagitahu dia, patut ada satu majlis di mana kita ucap penghargaan kepada mereka (pihak yang terlibat Program Jualan Rahmah).

“Tak mungkin kita boleh hidup dengan selesa dan kemudian, ada keluarga di Sarawak atau Kelantan, Kedah atau pinggir Kuala Lumpur tak ada wang beli susu anak, tak cukup wang beli uniform anak. Ini tak harus berlaku di Malaysia tercinta,” katanya.

Pada majlis tersebut Anwar turut melakukan pelepasan 16 lori Jualan Rahmah Bergerak.

Program tersebut mula diperkenalkan pada Januari lalu melibatkan 1133 lokasi di seluruh negara dan  memberi kesan positif dalam usaha untuk meringankan kos sara hidup rakyat.

Ini dapat dilihat melalui jumlah keseluruhan pengunjung yang hadir iaitu kira-kira dua juta orang dan mencatatkan rekod jualan sebanyak RM50 juta.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast