Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang

PUTRAJAYA – Polis mengesahkan stor ekshibit Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dekat sini dipecah masuk pada Jumaat lepas yang mengakibatkan sejumlah barang berkaitan kes narkotik dilaporkan hilang.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan yang mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama hari ini berkata setakat ini belum ada sebarang penahanan terhadap individu berkaitan kes itu.

“Masih dalam siasatan pihak polis dan kita perlu mengesahkan banyak perkara terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah masuk.

Terdahulu, tular satu laporan polis yang mendakwa stor ekshibit berkenaan mempunyai kesan geledah dan mengakibatkan barang kes yang sedang dalam tindakan pelupusan serta sebuah beg berisi komputer peribadi yang berfungsi untuk mengemas kini data barang kes turut hilang.

Laporan itu antara lain menyebut pemeriksaan turut mendapati kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi didapati dirosakkan dan tidak berfungsi.

— BERNAMA