Foto Facebook Terengganu FC II.

KUALA LUMPUR – Pengendali Terengganu FC II, Hairuddin Omar pula tidak mahu barisan pemain selesa di Liga Juara Piala MFL 2023 meskipun mereka cemerlang dengan 11 kemenangan di peringkat kumpulan sebelum ini untuk berada di kedudukan teratas.

Misi wajib menang perlu ada apabila bakal menentang Perak FC II pada 6 Ogos ini bagi memastikan para pemain mendapat tonik keyakinan lebih awal di pentas itu.

“Perlawanan lawan Perak ini sangat penting sebab kalau kita nak melangkah jauh dalam Liga Juara, kita kena menang aksi pertama supaya dapat bina keyakinan dan momentum lebih awal.

“Sudah pasti keputusan positif yang diraih (peringkat kumpulan) beri semangat kepada mereka tetapi saya harap pemain dapat terus fokus sebab saingan selepas ini lebih sengit dan mencabar.

“Saya yakin, Insya-Allah pasukan dapat beri prestasi terbaik sekaligus dapat melangkah lebih jauh untuk ke final nanti,” katanya.

Sebanyak lapan pasukan iaitu empat pasukan teratas daripada Kumpulan A (Terengganu FC II, JDT II, PDRM FC, Kedah Darul Aman FC B) dan B (Selangor FC, Kuala Lumpur City Extension, Sri Pahang FC, Perak FC II) layak berentap di pusingan Liga Juara Piala MFL bermula 6 Ogos ini.

Bermain dengan format liga satu pusingan sahaja, dua pasukan teratas Liga Juara ini seterusnya akan layak ke Perlawanan Akhir Piala MFL. – MalaysiaGazette

Hairuddin Omar.