KUALA LUMPUR – Pas melahirkan rasa kecewa terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mendakwa badan itu gagal memberi reaksi terhadap pemberian geran RM100,000 oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah.
Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kenyataan Ahmad Zahid bahawa jumlah itu mungkin bertambah bergantung kepada prestasi golongan tersebut dalam pilihan raya negeri jelas merupakan satu bentuk sogokan.
“Ramai yang menanti apakah tindakan SPRM terhadap ucapan TPM di Terengganu yang jelas memberi sogokan dan bercanggah dengan undang-undang negara.
“Tindakan memberi pelbagai geran dan sumbangan kewangan dengan syarat mengundi BN dan PH jelas satu rasuah menjelang pilihan raya negeri,” katanya dalam kenyataan.
Tuan Ibrahim berkata, ramai yang meluahkan rasa marah dan kecewa dalam pelbagai platform media sosial terhadap pengumuman Ahmad Zahid.
Beliau mendakwa, sikap yang ditunjukkan oleh SPRM berbeza ketika pembangkang mengumumkan mahu menyediakan bas kepada penyokong untuk balik mengundi.
“Nampaknya SPRM masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan jauh beza dengan kenyataan segera terhadap tindakan pihak pembangkang.
“Sehingga menyediakan bas oleh kerajaan Kelantan untuk kemudahan pengundi pulang membuang undi, dengan tiada sebarang syarat sama ada mengundi sesiapa yang mereka suka dianggap satu kesalahan rasuah,” katanya.
Tuan Ibrahim turut menyelar sikap berdiam diri Bersih dan mendakwa badan bukan kerajaan itu mengamalkan sikap pilih kasih dan berpihak.
Beliau berkata, perjuangan Bersih untuk melakukan reformasi sistem pilihan raya semakin sepi selepas beberapa orang pemimpin NGO itu menyertai Pakatan Harapan (PH).
“Bersih yang satu masa lantang memperjuangkan sistem pilihan raya yang bersih dan adil turut sepi bila mana parti pemerintah melakukan kesalahan.
“Namun lantang mengeluarkan kenyataan membantah kalau hal yang sama dilakukan oleh parti pembangkang.
“Bersih kini dilihat gagal berperanan sebagaimana ia diasaskan, kerana dilihat condong menyokong parti pemerintah khususnya PH,” kata Tuan Ibrahim kesal.
Ahmad Zahid dilaporkan mengumumkan peruntukan dan membuat janji berkenaan dalam ucapan perasmian Himpunan Belia Lestari Generasi Unggul (LesGU) di Dungun pada 28 Julai lalu.