KUANTAN – Seramai 21 pesakit telah dipindahkan ke hospital berdekatan susulan kebakaran kecil di Wad Kanak-Kanak di Hospital Jengka, Maran dekat sini semalam.
Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKN Pahang) dalam kenyataannya berkata, ketika kejadian kira-kira 7 malam itu, wad terbabit menempatkan seramai 11 orang pesakit kanak-kanak bersama 11 orang waris serta 10 orang pesakit wanita dewasa.
“Wad kanak-kanak berkenaan turut menempatkan pesakit wanita dewasa buat sementara waktu berikutan kerja-kerja renovasi yang sedang dijalankan di wad wanita.
“Bagi memastikan keselamatan dan keperluan rawatan pesakit terus terjamin, JKN Pahang telah menyelaras pemindahan pesakit ke hospital berdekatan.
“Seramai 10 orang pesakit wanita dewasa dan tiga orang pesakit kanak-kanak telah dipindahkan ke Hospital Jerantut, manakala lapan orang pesakit kanak-kanak dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh untuk meneruskan rawatan,” katanya.
JKN Pahang turut mengesahkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran terbabit, manakala keadaan semasa di lokasi adalah terkawal.
Sementara itu berdasarkan maklumat awal, kebakaran dipercayai bermula di bahagian bumbung wad berkenaan, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa yang berkaitan.
“JKN Pahang telah mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan pesakit, waris dan petugas serta kelangsungan perkhidmatan kesihatan tidak terjejas dan orang ramai dimohon agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Kebakaran kecil di Hospital Jengka, 17 individu termasuk 11 budak selamat
















