adu domba
Jalaluddin (tengah) menyerahkan risalah kempen kepada penduduk di Kampung Lakai, Jelebu, hari ini.

JELEBU – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menasihatkan pengundi tidak terpengaruh dengan adu domba, persepsi dan permainan emosi oleh pembangkang.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang itu berkata, pengundi diminta jangan tersilap membuat keputusan semata-mata untuk memuaskan hati sendiri.

“Saya harap semua pengundi sama ada Melayu, India, Cina dan Orang Asli apatah lagi generasi muda menggunakan peluang terbaik pada 12 Ogos ini untuk memastikan lima tahun yang akan datang DUN Pertang, Jelebu dan Negeri Sembilan dapat ditadbir urus oleh kerajaan yang mementingkan soal pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

“Kestabilan di Negeri Sembilan membolehkan kerajaan melakukan pelbagai perkara yang berlipat kali ganda untuk kepentingan rakyat,” katanya kepada pemberita pada program ramah mesra bersama orang ramai di Kampung Lakai di sini hari ini.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu menghadapi pertembungan satu lawan satu dengan calon Perikatan Nasional (PN), Amiruddin Hassan.

Sebelum ini, beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang selama sepenggal selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan ADUN Klawang setelah memenangi kerusi tersebut pada PRU11.

Jalaluddin juga dilantik sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan semasa era pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Walaupun Jalaluddin bukan nama yang asing di Jelebu khususnya di DUN Pertang, beliau tetap bekerja keras bertemu pengundi untuk menyatakan hasratnya kembali berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan.

“Saya sudah menjelajah setiap kampung dan taman di sini sejak bertahun-tahun lalu dan kali ini masuk pusingan kedua dan ketiga bertanya khabar.

“Yang penting, menyatakan hasrat dan merayu kepada mereka untuk memberi mandat kepada saya,” jelasnya. – MalaysiaGazette