logo gari
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki berumur 36 tahun, di sini, semalam yang disyaki terlibat membaling batu ke arah Ibu Pejabat Pas Pusat di Jalan Raja Laut pada hari Sabtu lepas, sehingga mengakibatkan dinding kaca pejabat itu pecah.

Menurut sumber, penganggur itu ditahan di Lorong Tiong Nam, Chow Kit pada pukul 10 malam, dan dia akan direman hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat.

Menurut sumber itu lagi, difahamkan lelaki berkenaan berbuat demikian kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan parti Pas, dari segi kerjasama politik.

“Siasatan awal juga mendapati suspek mempunyai 16 rekod jenayah lampau termasuk sembilan rekod kesalahan dadah,” katanya kepada Bernama.

Sabtu lepas, Pas membuat laporan polis selepas dinding kaca di Ibu Pejabat Pas Pusat dibaling dengan batu oleh seorang lelaki, beberapa jam sebelum bermula proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri. – Bernama